My Add

Thursday 4 July 2013

Runtuh mungkin akibat kecuaian: MPAJ

KUALA LUMPUR, RABU, 02 Julai, 2013:Kejadian tebing runtuh sehingga menyebabkan kematian tiga pekerja di tapak pembangunan di Taman Sierra, Ukay Perdana hari ini mungkin berlaku akibat kecuaian dan tiada pengurusan keselamatan ketika pelaksanaan kerja.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd berkata insiden itu tiada kaitan dengan kegagalan struktur atau runtuhan cerun.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian MPAJ di tapak kejadian, kemalangan itu berlaku ketika aktiviti korekan tanah dilakukan sehingga tebing tanah setinggi 3.5 meter terjatuh dan menimbus pekerja binaan yang sedang bekerja bersebelahan tebing tersebut.

"Akibat kemalangan itu, tiga pekerja pembinaan maut manakala seorang cedera parah dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu," katanya dalam kenyataan kepada Bernama malam ini.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja Myanmar dikenali sebagai Mohamad Alam Yusup Ali, 33, Abdul Korim Was Korim, 36, dan Ramzawihakim Soyotdulah, 26, maut manakala Zokoria Shobualam, 22, patah kaki dan dirawat di Hospital Ampang sebagai pesakit luar.

Rosliza berkata ekoran insiden itu, MPAJ yang meninjau tempat kejadian bersama wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja serta-merta kepada pihak pemaju.

MPAJ, katanya, mengemukakan laporan teknikal berkaitan punca berlakunya kegagalan ketika aktiviti kerja korekan dilakukan.

Beliau berkata selain itu, MPAJ mengemukakan cadangan tindakan penyelesaian meliputi kajian kestabilan dan reka bentuk serta jadual perancangan kerja bagi penyelenggaraan kawasan kejadian kemalangan.

"MPAJ juga melaksanakan penyelenggaraan di kawasan tapak pembangunan bagi mengelakkan kacau ganggu di kawasan sekitar sepanjang tempoh berhenti kerja dikeluarkan," katanya.

Rosliza berkata pemilik tanah harus bertanggungjawab terhadap sebarang permasalahan dan kemungkinan atas kegagalan pemilik memelihara dan menyelenggara/premis miliknya sehinga menimbulkan kacau ganggu ke kawasan sekitar.

MPAJ juga telah memaklumkan perkara ini kepada CIDB dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja untuk tindakan lanjut, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment