My Add

Friday 5 July 2013

SPR tak boleh campur tangan jika DUN Terengganu tergantung

PUTRAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh campur tangan sekiranya Dewan Undangan Negeri Terengganu tergantung selepas pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada 24 Julai nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata sekiranya berlaku DUN tergantung, wakil kedua-dua parti harus berbincang sesama sendiri.

"Sekiranya ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah, sultan boleh campur tangan dan sekiranya masih gagal, satu lagi pilihan raya negeri terpaksa diadakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Barisan Nasional (BN) menguasai 17 daripada 32 kerusi DUN Terengganu manakala pakatan pembangkang memenangi 15 kerusi (PAS 14 dan PKR satu).

Berikutan kematian ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar daripada BN, pilihan raya kecil akan diadakan pada 24 Julai ini dan BN kini hanya menguasai 16 kerusi.

Sekiranya, pakatan pembangkang memenangi pilihan raya kecil ini, kedudukan jumlah kerusi yang dikuasai kedua-dua pihak ialah 16-16.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, SPR akan mengkaji semula persempadanan DUN dan parlimen yang mempunyai kerusi angka genap supaya dijadikan angka ganjil.
"Perkara itu akan dipertimbangkan dalam proses persempadanan semula nanti," katanya.

Mengulas dakwat kekal, Abdul Aziz berkata, ia tetap akan digunakan pada pilihan raya kecil itu namun dakwatnya sedikit berbeza daripada yang digunakan pada pilihan raya umum lalu.

"Dakwat kali ini akan mempunyai kandungan silver nitrate yang lebih tinggi untuk memastikan ia akan kekal lebih lama dan ditempah daripada pembekal yang berbeza," katanya.

Mengulas tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada Ramadan, Abdul Aziz berkata SPR tidak mempunyai masalah mengendalikannya kerana sebelum ini terdapat dua pilihan raya diadakan ketika bulan puasa iaitu di Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Lunas, Kedah.

"Kita tidak mahu kekosongan terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya dan kempen tidak rasmi terlalu panjang. Kita dah bincang mengenainya dan ia bukan benda baharu bagi SPR," katanya.

Abdul Aziz berkata, 10 orang masing-masing dari Majlis Belia Negara dan Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi akan menjadi pemerhati dalam pilihan raya kecil ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment