My Add

Tuesday 30 July 2013

Syarikat bukan Islam palsukan logo halal

Oleh ROSALINDA MD. SAID

KUALA LUMPUR, ISNIN, 29 Julai, 2013: Lembaga Pelindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) mengenal pasti antara 20 hingga 30 barangan keluaran dan edaran syarikat bukan Islam di negara ini terlibat dalam penyalahgunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, paling mengejutkan apabila ada di antara barangan itu terutama produk makanan didapati memiliki logo halal sedangkan jenis, perisa dan kandungannya berasaskan sumber meragukan.

"Isu ini kian meruncing walaupun Jakim telah melarang penggunaan logo dan ungkapan halal serta lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan dan memperdayakan orang Islam.

"LPKPM menerima banyak aduan daripada pengguna dan berdasarkan siasatan kami kesemua barangan itu dipercayai menggunakan logo halal palsu serta tidak didaftarkan secara sah dengan pihak Jakim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat pemantauan di sebuah pasar raya di Puchong bersempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dekat sini hari ini.

Menurut Saharuddin, Jakim perlu mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah itu, sekali gus mengekang usaha pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan mengaburi mata pelanggan Islam.

"Persoalannya, walaupun selepas larangan penguatkuasaan dikeluarkan, kenapa isu logo halal ini masih berlarutan?

"Pengguna perlu bijak, pastikan setiap produk dibeli menggunakan logo halal standard Jakim yang mengandungi nombor rujukan MS dan 10 digit terakhir nombor rujukan permohonan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saharuddin berpuas hati kerana pihak pasar raya bukan sahaja mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan berkuat kuasa 26 Julai lalu hingga 11 Ogos ini, malah prihatin apabila ada di antara 20 barangan kawalan dijual pada harga rendah daripada ditetapkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment