My Add

Monday 29 July 2013

Terkejut diserbu polis, bapa tinggalkan anak perempuan dalam kereta

MELAKA, AHAD, 28 Julai, 2013: Seorang bapa tergamak meninggalkan anak perempuannya di dalam kereta untuk menyelamatkan diri dari dicekup dalam satu serbuan polis di kebun kelapa sawit berdekatan Penjara Sungai Udang, di sini semalam.

Lelaki berusia awal 30-an itu melarikan diri selepas sepasukan anggota polis narkotik melakukan serbuan Ops Tapis di kawasan kebun itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, semasa kejadian lelaki itu dipercayai masuk ke kebun kelapa sawit berkenaan untuk membeli dadah.

"Suspek sebelum itu meninggalkan anak perempuannya yang berumur empat tahun dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza di tepi jalan.

"Sebaik sahaja lelaki itu masuk ke kebun berkenaan, polis terus menggempur kawasan tersebut menyebabkan suspek melarikan diri tanpa menghiraukan anak perempuannya yang ditinggalkan dalam kereta," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai bersembunyi dalam hutan berdekatan kebun kelapa sawit itu selama hampir 20 minit sebelum ditangkap.

Salehhudin berkata, lelaki itu mengaku pergi ke tempat tersebut bersama anak perempuannya untuk membeli dadah namun meninggalkan anaknya di dalam kereta.

"Polis kemudian pergi ke kereta suspek untuk mendapatkan anak perempuannya dan dibawa ke Balai Polis Sungai Udang serta memanggil isteri lelaki tersebut," tambahnya.

Sementara itu, polis turut menahan 33 lelaki lain yang dipercayai penagih dalam operasi yang sama di mana tujuh daripada mereka adalah penjawat awam.

Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 62 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Operasi selama 12 jam yang bermula pukul 6 pagi semalam berakhir pukul 6 petang membabitkan dua pegawai dan 16 anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment