My Add

Wednesday 3 July 2013

Tiada pengawal keselamatan di rumah Khairy ketika rompakan

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Tidak ada pengawal keselamatan dari pasukan polis ketika kejadian rompakan di rumah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Sabtu lalu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati rumah menteri itu di Jalan Setiabistari, Bukit Damansara di sini tidak mempunyai sebarang kawalan keselamatan ketika kejadian itu.

Ketika ditanya kenapa rumah menteri tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan, Ku berkata, pengawal keselamatan dari pasukan polis dijadual bertugas di rumah menteri itu pada hari ini (3 Julai), namun disebabkan insiden itu, pengawal mula bertugas keesokannya iaitu sehari selepas kejadian rompakan itu.

"Proses untuk melantik pengawal baru masih dalam perbincangan (pada masa itu), ini kerana ada menteri yang ditukar (portfolio) dan ada menteri baru (dilantik)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan menteri dan timbalan menteri pada 15 Mei lalu.

Ku berkata, polis sudah mendapat lakaran wajah dua daripada empat suspek berdasarkan maklumat daripada pembantu rumah menteri itu dan sedang memburu mereka.

"Kita sudah melakar dua gambar lelaki yang dipercayai terlibat dalam rompakan itu berdasarkan maklumat pembantu rumah menteri itu," katanya sambil meminta orang ramai menghubungi mana-mana balai polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek.

Dalam kejadian Sabtu lalu, empat lelaki yang menaiki kereta Proton Waja, memasuki rumah menteri berkenaan lalu melarikan beberapa komputer riba dan jam tangan.

Khairy dan isteri tiada di rumah pada masa kejadian kecuali pembantu rumah mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment