My Add

Thursday 4 July 2013

UMNO ada locus standi untuk saman Tian Chua

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan UMNO mempunyai locus standi atau hak untuk menyaman Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang dan dua yang lain bagi memfitnah berhubung artikel berkaitan insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah pada Februari lepas.

Hakim Rosilah Yop membuat keputusan itu di dalam kamar selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam yang mewakili UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Raihana Ariffin, manakala tiada wakil dari pihak defendan.

Mohd Hafarizam memberitahu pemberita bahawa hakim memutuskan UMNO mempunyai locus standi mengikut Seksyen 9(C) Akta Pertubuhan 1966 untuk memulakan tindakan undang-undang dengan menggunakan nama pegawai awam parti.

Beliau berkata, keputusan itu memperkukuhkan kes undang-undang bahawa parti-parti politik boleh memfailkan saman fitnah.

Hakim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan UMNO untuk memadamkan beberapa bahagian dalam pernyataan pembelaan Tian Chua dan dua yang lain.

Semasa menolak permohonan itu, hakim memutuskan para defendan telah mengemukakan pembelaan yang munasabah dan memerintahkan saman itu menjalani perbicaraan penuh dan menetapkan 13 hingga 15 Januari untuk mendengar saman itu.

"Mahkamah memutuskan terdapat asas untuk defendan-defendan membentangkan pembelaan mereka mengenai justifikasi, perlindungan bersyarat dan komen yang adil," katanya.

Pada 15 Mac, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap Chua Tian Chang yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, editor KeadilanDaily.com, Fazallah Pit dan penulis artikel itu, Aisha Geoffrey.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Ab. Rauf mendakwa Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel "Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO" yang telah dilaporkan dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lepas ketika ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Beliau menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf secara bertulis oleh defendan untuk diterbitkan dalam semua akhbar dan faedah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Tian Chua dalam pernyataan pembelaannya menafikan membuat kenyataan memfitnah Umno mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Beliau mendakwa kenyataan itu adalah komen yang adil dan dibuat secara perlindungan bersyarat sebagai seorang anggota Parlimen dan demi kepentingan awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment