My Add

Thursday 4 July 2013

Utusan pertahan hak, kepentingan Melayu

Ikmal Hisham Abdul Aziz (kiri)  Annuar Musa

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Perjuangan akhbar Utusan Malaysia banyak menyelamatkan orang Melayu daripada terpengaruh dengan dakyah pemimpin pembangkang yang antara lain bertujuan mengganggu-gugat ketetapan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) turut menegaskan bahawa Utusan Malaysia berjaya mendedahkan tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak yang cuba mencemar kesucian Islam seperti dilakukan oleh tentera Red Bean Army.

Katanya, beliau tidak hairan dengan serangan bertubi-tubi pembangkang terhadap Utusan Malaysia kerana sejak dulu, kini dan selamanya akhbar tersebut menjadi benteng mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan.

‘‘Beberapa ahli Parlimen pembangkang mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini menyerang Utusan Malaysia dan menganggap akhbar ini tidak mewakili orang Melayu dan di sini saya ingin tegaskan Utusan Malaysia merupakan akhbar yang mewakili suara orang Melayu.

‘‘Mereka yang menuduh Utusan Malaysia tidak mewakili orang Melayu adalah kelompok yang tidak tahu bersyukur serta tidak faham susur galur terwujudnya Utusan Malaysia yang bermula dengan penerbitan akhbar Utusan Melayu di Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat malam ini.

Menyentuh isu sama, Ikmal Hisham juga menyelar pihak yang menuduh Utusan Malaysia menipu di dalam membuat laporan semata-mata kerana akhbar itu kalah di dalam beberapa kes saman.

‘‘Kita jangan lupa lidah rasmi Pas, Harakah dan suara rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan pernah berhadapan dengan tindakan mahkamah dan kalah.

‘‘Janganlah jadikan ukuran kekalahan di mahkamah sebagai alasan untuk menuduh Utusan Malaysia sebagai penipu dalam laporannya," katanya.

Jika dikaji lidah pembangkang khususnya Suara Keadilan beliau berkata, secara terang-terangan akhbar itu hanya penyebar fitnah.

‘‘Sebab itu Suara Keadilan disaman dalam kes mendakwa Felda Bankrap dan kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilarang masuk ke Amerika Syarikat," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong kerajaan, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) bangkit dan menyatakan Utusan Malaysia adalah antara akhbar tertua di negara ini.

Kata Annuar, akhbar itu mempunyai sejarah perjuangan bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi kepentingan kemerdekaan dan negara keseluruhan selain mempunyai rekod antara akhbar paling lama bertahan di negara ini.

Terdahulu, Ikmal Hisham berkata, kewujudan tentera siber Red Bean Army yang tingkah lakunya tidak henti-henti didedahkan oleh akhbar Utusan Malaysia perlu dibanteras sama sekali.

Ini memandangkan beliau berkata, tentera siber itu menggunakan pendekatan politik yang cukup berbahaya bagi meracuni fikiran rakyat.

‘‘Mereka bukan sahaja bersedia melakukan fitnah terhadap Barisan Nasional (BN), menyerang institusi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis tetapi juga sanggup menggugat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Beliau turut mendesak DAP menyatakan sokongan secara terbuka untuk sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi menghapuskan Red Bean Army melalui Kementerian Dalam Negeri apabila parti itu mendakwa tentera siber tersebut tiada kaitan dengan mereka.

‘‘Memandangkan DAP menyatakan Red Bean Army tiada kaitan dengan parti tersebut, mereka perlu menyatakan sokongan secara terbuka terhadap sebarang usaha yang akan dilakukan oleh kerajaan bagi menghapuskan Red Bean Army kerana kegiatan mereka boleh menggugat kestabilan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment