My Add

Monday, 2 December 2013

Bincang isu keselamatan awam

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

HULU LANGAT, AHAD, 01 Disember, 2013: Polis Selangor akan mengadakan pertemuan dengan lebih 200 syarikat keselamatan di negeri itu bagi mencari jalan dan kaedah paling berkesan membanteras jenayah melibatkan sektor tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pertemuan yang dijangka berlangsung bulan ini juga untuk mencari kata sepakat antara kedua-dua pihak dalam soal menjaga keselamatan awam.

Menurutnya, tugas pengawal keselamatan adalah seperti polis kerana tujuan asal dilantik atau diupah adalah untuk menjaga keselamatan pihak lain.

Disebabkan itu, ujar beliau, mereka harus dikawal selia bagi memastikan orang ramai tidak terancam dengan kehadiran mereka.

"Polis Selangor akan membuat perjumpaan dengan syarikat keselamatan dalam masa terdekat untuk mengetahui cara kerja mereka, mengetahui masalah dan pandangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Komuniti Kepolisan yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Taman Sri Jenaris, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.

Mohd. Shukri seterusnya memberitahu, lebih 10,000 pengawal keselamatan dilaporkan bertugas di negeri itu di pelbagai sektor dengan 7,000 daripadanya memperoleh lesen 'Bawa dan Guna'.

Mengulas tentang lelaki bernama Joemar yang menjadi rakan subahat kepada suspek utama kes rompakan dan pembunuhan seorang pegawai operasi AmBank pada Oktober lalu, Mohd. Shukri menjelaskan, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui.

"Tetapi jangan ingat polis akan berdiam diri kerana setiap masa kita sedang berusaha memburunya untuk dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.

Dalam kejadian itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank berkenaan sebelum suspek melarikan wang tunai berjumlah RM450,000.

Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, sebanyak 52 peratus daripada 33,000 laporan polis yang dibuat orang ramai di negeri itu sepanjang tahun ini telah diselesaikan pihak polis.

Katanya, situasi berkenaan menjadikan kontinjen Selangor sebagai antara yang terbaik di seluruh negara hasil dari penyaluran maklumat yang berkesan oleh orang ramai.

"Tiada maklumat yang disalurkan meragukan kerana setiap maklumat diterima akan diambil berat untuk membantu setiap siasatan yang dijalankan. Sebagai contoh kejayaan menyelesaikan kes tembak pegawai Ambank (Norazita)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment