My Add

Sunday 1 December 2013

CEC DAP didakwa berdolak-dalik

ALOR SETAR, SABTU, 30 November, 2013: Bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad hari ini menempelak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang didakwa cuba berdolak-dalik berhubung isu kelewatan pendaftaran permohonan penubuhan cawangan DAP Taman Wira di sini sejak Februari 2012.

Syed Araniri mendakwa pihaknya juga tidak pernah menerima surat rasmi memaklumkan tentang kelewatan permohonan tersebut pada Jun 2012 kerana tidak cukup ahli daripada CEC Pusat seperti didakwa Ahli CEC DAP, Thomas Su Keong Siong dalam sebuah akhbar tabloid kelmarin.

“Ini satu pembohongan, mereka cuba mengalihkan pandangan, dulu kata ROS (Pendaftar Pertubuhan) yang salah kerana lambat proses permohonan saya, kemudian cakap cawangan saya ditolak CEC Pusat kerana tidak cukup ahli. Kini bagi tahu sudah menghantar surat memaklumkan kepada saya tentang perkara itu sedangkan saya tidak pernah menerima apa-apa surat pun daripada CEC.

“Jika benar surat tersebut sudah dihantar kenapa tidak sampai kepada tangan saya? Jika saya sudah menerima surat tersebut mengatakan saya perlu menambah ahli, sudah tentu saya akan menghantar tambahan 15 permohonan lagi untuk melengkapkan syarat iaitu permohonan 50 ahli yang diperlukan seperti didakwa mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Thomas dalam sebuah akhbar tabloid mendakwa CEC DAP telah menghantar surat berhubung kelewatan pendaftaran DAP Cawangan Taman Wira dipengerusikannya atas alasan tidak cukup ahli kerana antara syarat untuk membuka cawangan baharu perlu sekurang-kurangnya 50 ahli.

Syed Araniri mengumumkan meletak jawatan sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah pada 1 November lalu setelah tidak berpuas hati memandangkan permohonannya untuk menubuhkan cawangan tersebut didakwa diketepikan oleh parti itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment