My Add

Sunday, 1 December 2013

 Yang di-Pertuan Agong, ingatkan rakyat hormati, muliakan Perlembagaan

 TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim (kiri) beramah mesra dengan balu kepada Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat yang juga gugur dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Noor Aziah Noor (dua dari kanan) dan kakak Allahyarham, Nur Masiti Aisyah Ton Mamat (kanan) dalam Majlis Konvokesyen Ke-26 UUM di Dewan Mu'adzam Shah UUM, Sintok, Kedah, semalam. - MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI
KUBANG PASU, SABTU, 30 November, 2013: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini mengingatkan rakyat agar sentiasa menghormati dan memuliakan undang-undang yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka bertitah, kerakusan perasaan dan keserongan pilihan yang bertentangan dengan hasrat kedamaian dan keamanan diingini perundangan mungkin akan membawa padah buruk kepada rakyat dan negara ini.

"Atas kedudukan beta sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, maka beta ingin menarik perhatian semua pihak akan tugas dan tanggungjawab serta obligasi mereka sebagai rakyat negara ini untuk sentiasa menghormati undang-undang," titah baginda pada majlis Konvokesyen Ke-26 Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.

Tuanku Abdul Halim yang merupakan Canselor UUM bertitah, meskipun undang-undang tubuh negara telah memberi jaminan yang tegas tentang pelbagai kebebasan asasi di bahagian dua, perkara-perkara lima hingga 13 Perlembagaan, namun terdapat rakyat melanggar peruntukan undang-undang itu dengan nyata dan sengaja.

"Perlembagaan Persekutuan ini digubal dengan penuh kesedaran untuk membawa negeri-negeri Melayu ke arah negara moden yang demokratik serta maju dalam (keadaan) aman dan damai.

"Maka kebanyakan peruntukannya adalah berasaskan keseimbangan hak, tanggungjawab dan obligasi dalam kalangan semua rakyat," titah Seri Paduka.

Titah Seri Paduka lagi, adalah menjadi kewajipan kepada semua rakyat walau apa pun asal usul mereka untuk sentiasa memuliakan undang-undang negara kerana tanpa Perlembagaan dan bahagian tiga di dalamnya, rakyat keseluruhannya mungkin tidak akan berupaya menikmati hak dan kebebasan.

Tuanku Abdul Halim bertitah, rakyat perlu diingatkan dengan hal kerakyatan dan kebebasan kerana akhir-akhir ini ada golongan yang melanggar hak itu sehingga mencabar keutuhan negara serta boleh mengancam kedamaian.

"Perlembagaan memperuntukan tentang kebebasan beragama sambil meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman damai.

"Namun ada golongan yang sengaja mencabar Perkara 3 (1) dan merupakan hak istimewa Ketua Negara dan Ketua Negeri sekali gus cabaran tersebut berlaku terhadap tugas dan tanggungjawab serta hak istimewa dan prerogatif Ketua Negara," titah Seri Paduka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment