My Add

Sunday, 1 December 2013

Allahyarham Zulkifli Mamat terima ijazah

 
KUBANG PASU, SABTU, 30 November, 2013: Noor Aziah Noor, 28, balu kepada Allahyarham Asisten Supritendan Zulkifli Mamat (gambar) yang terkorban dalam serangan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah 1 Mac lalu, terharu apabila hasrat Allahyarham suaminya untuk mendapat segulung ijazah akhirnya tercapai hari ini.

Noor Aziah yang mewakili Allahyarham Zulkifli, menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian sempena Majlis Konvokesyen Ke-26 Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah, selaku Canselor UUM.

Dalam majlis itu juga baginda menyerahkan sumbangan daripada kakitangan UUM bernilai RM20,739 dan memulangkan yuran pengajian bernilai RM13,000 kepada Noor Aziah untuk kegunaan keluarga tersebut.

Noor Aziah memberitahu, dia dan Allahyarham suaminya memulakan pengajian di UUM pada 2004 namun suaminya menangguhkan pengajian untuk mencapai cita-cita berkhidmat dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Arwah suami saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pelajaran pada semester kelima iaitu pada 2006 kerana dia mahu menjadi anggota polis.

“Setelah impiannya menjadi anggota polis tercapai, arwah sambung semula pengajian jarak jauh bermula 2009 dan pada 15 Februari 2013 dia berjaya menamatkan pengajiannya.

“Saya bangga dengan arwah kerana berjaya mengotakan janjinya kepada ibunya, Khadijah Ismail dan saya untuk menamatkan pengajian walaupun arwah tiada di sisi kami sekeluarga hari ini kerana terkorban dalam serangan pengganas," katanya ketika ditemui sempena majlis konvokesyen itu di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment