My Add

Sunday, 1 December 2013

Mohon perkenan bina tembok di Kelantan

 * DR. AHMAD Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian dengan melepaskan tembakan ketika perasmian Karnival Bersatu Menentang Jenayah di Pusat Transformasi Luar Bandar, Tunjong sambil disaksikan Jalaluddin Abdul Rahman (dua dari kanan) di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - MINGGUAN/ROSNI MASRI
KOTA BHARU, SABTU, 30 November, 2013: Kementerian Dalam Negeri akan memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk mempersembahkan kepada baginda pelan pembinaan tembok elektronik di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berlaku.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mempersembahkan pelan tersebut bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kerana ia memerlukan kerjasama langsung daripada Kerajaan Pas Kelantan untuk menjayakannya.

"Secara dasarnya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah bersetuju untuk membina tembok elektronik sepanjang 121 kilometer bagi sempadan air dan 20 kilometer untuk sempadan darat.

"Saya berharap akan dapat mempersembahkan kepada Sultan Kelantan sebelum pelaksanaan dan saya akan beri taklimat kepada menteri besar untuk adanya komitmen daripada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Bersatu Menangani Jenayah di Pusat Pembangunan Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman; Panglima 8 Bridged, Datuk Mohd. Zaki Hamzah; Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr. Ramli Mamat dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Ahmad Zahid berkata, peranan dan komitmen Kerajaan Pas Kelantan diperlukan kerana ia membabitkan pengambilan tanah kerajaan, penduduk kampung serta tanah-tanah lain dan projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun selepas kontrak ditawarkan.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat peka dengan peranan sempadan negara sebagai pintu masuk negara dan nadi ekonomi, justeru pembinaan tembok berkenaan tidak akan menjejaskan aktiviti ekonomi di situ sebaliknya ia akan menjadi lebih mudah.

"Kita akan ambil kira kawasan ini sebagai nadi ekonomi, jadi sudah tentu kita mahu input daripada kerajaan Kelantan untuk menentukan supaya aktiviti ekonomi terus berjalan dan bukannya penyeludupan barang subsidi, pemerdagangan orang. Dan yang paling kita risau penyeludupan senjata api," katanya.

Mengulas mengenai Karnival Bersatu Menangani Jenayah, beliau berkata, ia adalah yang pertama diadakan dan kementerian menyasarkan penyertaan tiga juta rakyat sebagai sokongan program tersebut dan setakat ini seramai 1.7 juta orang telah mendaftar.

"Sejak Op Cantas dilancarkan pada 17 Ogos lalu banyak kes jenayah berjaya dibendung, justeru saya mahu rakyat turut terlibat dengan program ini dan selepas ini pelbagai aktiviti untuk kesedaran mengenai jenayah akan dijalankan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment