My Add

Sunday, 1 December 2013

Daya kreativiti tingkat pendapatan luar bandar
RAUB, SABTU, 30 November, 2013: Masyarakat luar bandar perlu mengetengahkan daya kreativiti dan berinovasi dalam menghasilkan sesuatu produk sebagai usaha meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kemahiran itu tidak hanya berkisar kepada golongan tertentu khususnya mereka yang memiliki kepakaran ilmu sains atau menerusi penggunaan teknologi canggih semata-mata.

Sebaliknya, kelebihan yang dimiliki tersebut sewajarnya mencakupi semua aspek kehidupan dan merentasi setiap lapisan masyarakat.

"Inovasi yang dicetuskan oleh anak-anak tempatan telah membolehkan Malaysia menjadi negara membangun dikagumi oleh pihak luar termasuk negara-negara maju.

"Antara contoh terbaik produk idea kreatif dan inovatif yang memberikan impak serta sumbangan besar kepada pembangunan negara adalah Felda, RIDA (Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan), Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan Lembaga Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyampaian Anugerah Ilham Desa oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Gali Tengah di sini hari ini.

Sebanyak 10 kampung di seluruh negara terpilih dalam pertandingan itu yang menyaksikan Kampung Peruas di sini muncul juara dengan menggondol wang tunai RM50,000 dan piala.

Tempat kedua pula disandang Kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat, Johor manakala Kampung Batu 26, Kulim Bandar Baharu, Kedah tempat ketiga dengan masing-masing membawa pulang RM40,000 dan RM30,000 serta piala.

Menurut Mohd. Shafie, Laporan Indeks Inovasi Global 2013 menunjukkan Malaysia di kedudukan ke-32 daripada 142 negara mengiktiraf peranan utama inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sesebuah negara.

Katanya, dalam masa sama, daya saing negara berjaya diperbaiki dan ketika ini berada pada kedudukan ke-14 pada 2012 berbanding tangga ke-16 pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian tersebut amat membanggakan kerana berjaya mengatasi negara-negara maju lain seperti Australia dan Jepun.

"Kejayaan disebutkan tadi jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai modal insan yang amat berpotensi sebagai kunci pertumbuhan masa depan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad berkata, penganjuran Anugerah Ilham Desa (AID) mampu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera dalam kalangan masyarakat kampung, termasuk golongan belia dalam menghasilkan produk inovasi dan kreatif bagi menjana pendapatan lebih lumayan.

Katanya, pertandingan itu yang memasuki edisi ke-10 menunjukkan peningkatan memberangsangkan membuktikan kesedaran masyarakat luar bandar untuk mengubah ke hidupan lebih baik.

Menurutnya, bagi kampung yang ingin melaksana sesuatu projek, mereka akan mempelajari daripada pemenang AID dan mencari projek sesuai dijalankan apabila pulang ke tempat asal nanti.

"Kita mewujudkan konsep mentor mentee iaitu kampung yang mahu menjalankan sesuatu projek akan menimba ilmu dengan pemenang terbabit bagi mempelajari bagaimana mereka menguruskannya sehingga berhasil," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment