My Add

Sunday, 1 December 2013

POKB sokong GLC diletakkan bawah JPM
KOTA BHARU, SABTU, 30 November, 2013: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menyokong tindakan Pemuda UMNO Kelantan yang akan membawa usul ekonomi bumiputera dengan mencadangkan kepada kerajaan supaya semua syarikat milik kerajaan (GLC) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berlangsung 4 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Hal Ehwal Mahasiswa dan Siswazah POKB, Wan Azli Nik Abdul Majid berkata, cadangan yang bakal dikemukakan Pemuda UMNO Kelantan itu sangat baik bagi memudahkan kerajaan memantau segala aktiviti GLC demi kepentingan bumiputera.

Selain itu katanya, POKB juga menyokong usaha Pemuda UMNO Kelantan yang akan membawa usul meminta kerajaan mewajibkan setiap GLC menubuhkan satu struktur khas yang berperanan membantu lebih ramai usahawan bumiputera mengembangkan perniagaan masing-masing.

“POKB sentiasa menyokong penuh segala isu yang dibangkitkan demi kepentingan bumiputera dan rakyat Kelantan khususnya. Tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Azam Ismail yang dapat berfikir ‘di luar kotak’ dengan mencadangkan GLC diletakkan di bawah JPM sama seperti Felda," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Pemuda UMNO Kelantan yang akan membawa usul ekonomi bumiputera dengan mencadangkan kepada kerajaan supaya semua syarikat milik kerajaan (GLC) diletakkan di bawah JPM selain turut mengemukakan usul meminta kerajaan mewajibkan setiap GLC menubuhkan satu struktur khas bagi membantu usahawan bumiputera. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment