My Add

Sunday, 1 December 2013

Imam Muda musim pertama diangkat Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang

 Muhammad Asyraf
PERMATANG PAUH. 30 November, 2013: Juara Imam Muda Musim Pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan dinobatkan sebagai Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang 2013 dalam satu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Melalui pengiktirafan itu, Muhammad Asyraf, 29, turut menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan sebuah trofi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman.

Bagaimanapun Muhammad Asyraf yang turut diangkat sebagai Ikon Belia Bumiputera Kategori Keagamaan itu tidak dapat hadir dan beliau diwakili ayahnya, Mohd. Ridzuan Mohd. Yusoff

Namun, Muhammad Asyraf melalui rakaman video yang ditayangkan berkata, beliau amat terkejut dan tidak menyangka diberikan pengiktirafan sebesar itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah ini dan pengiktirafan ini pasti akan terus membakar semangat saya untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat," katanya.

Dalam majlis itu, beberapa tokoh lain turut diangkat sebagai ikon belia mengikut kategori masing-masing.

Tokoh-tokoh berkenaan ialah Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GMPS) negeri, Mohamed Muzaidee Mohamed Ali yang dianugerahkan ikon Khidmat Masyarakat; Pensyarah, Dr. Md. Azree Othuman Mydin (Profesional dan Akademik); Aktivis Teater, Lena Farida Hussain Chik (Kebudayaan dan Kesenian) dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Manzoor Azwira Abd. Wahid (Sukan).

Kesemua mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, sijil dan cenderahati khas.

Terdahulu, Zainal Abidin dalam ucapannya berkata, anugerah berkenaan adalah bagi membuktikan keupayaan golongan belia bumiputera di negeri ini dalam meningkat dan memajukan masyarakat menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Beliau yakin anugerah itu mampu meningkatkan lagi iltizam bukan sahaja kepada penerimanya tetapi masyarakat untuk terus berusaha mencapai tahap yang lebih tinggi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment