My Add

Sunday 31 March 2013

Daulat: Polis buru 'Datuk Seri Muhammad Ridzwan' bantu siasatan


 "HAMZA Taib menunjukkan gambar lelaki dikenali sebagai 'Datu
Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman' yang dicari bagi membantu
siasatan berhubung Operasi Daulat pada sidanakhbar di Felda

Residence Sahabat, Lahad Datu, Sabah hari ini. - UTUSAN/ABDUL 
RAZAK LATIF
 *DICARI POLIS... Lelaki dikenali sebagai 'Datuk Seri Muhammad 
Ridzwan Sulaiman' ini dikehendaki oleh pihak polis bagi membantu 
siasatan berhubung Operasi Daulat. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
LAHAD DATU, AHAD, 31 Mac, 2013: Seorang individu lelaki dikenali sebagai Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman berasal dari Georgetown, Pulau Pinang dicari pihak polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung Ops Daulat yang masih dilaksanakan ketika ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, lelaki itu dikatakan merupakan Yang Dipertua serta Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia (Al-Ehsan Islamiah) dan masih menjawat jawatan itu sehinga ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu ini diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Polis juga meminta individu ini tampil menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, lelaki itu masih berada di dalam negara dan alamat terakhir adalah di Pengkalan Weld, George Town. - UTUSAN ONLINE
Pemuda UMNO kecam pemimpin Pas hina Nabi

SEREMBAN, AHAD, 31 Mac, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO mengecam tindakan pemimpin Pas yang mengheret dan menghina Nabi Muhammad SAW hanya kerana mahu mencapai kepentingan politik mereka semata-mata.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perbuatan itu sangat mengecewakan kerana parti itu sering mencanangkan diri mereka sebagai pejuang Islam tetapi pada hakikatnya ia tidak diamalkan.

"Apa yang saya lihat, pemimpin Pas tanpa segan silu dan jahatnya menyerang Nabi Muhammad dengan lontaran video seks Nabi.

"Apakah ini bermakna reaksi PAS sebelum ini terhadap video The Innocence of Muslims sekadar sandiwara politik semata-mata tanpa penghayatan tentang batas-batasnya," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam media sosial baru-baru ini, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas, Khairul Fahmi Mat Som menyebut "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO", melalui akaun Twitter @fahmipkg pada 27 Mac yang lalu.

Khairy berkata, perbuatan itu menunjukkan tindakan mereka itu sarat dengan emosi dan cetek pertimbangan yang menampakkan belang sebenar parti pembangkang. - UTUSAN ONLINE
Hina Nabi: Perkasa buat laporan polis siasat Khairul Fahmi

 *IRWAN Fahmi Ideris (tengah) menunjukkan salinan laporan polis (kanan) dan kenyataan menghina Nabi oleh seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat melalui Twitter (kiri) di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD AZIZ

Oleh ROKIAH ABDULLAH
IPOH, AHAD,31 Mac, 2913: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini membuat dua laporan polis menuntut supaya polis dan Jabatan Agama Islam menyiasat terperinci seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.

Laporan itu dibuat Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris dan Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh kira-kira pukul 2.10 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Irwan Fahmi yang ditemui selepas itu berkata, tujuan Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som membuat kenyataan sedemikian menerusi akaun Twitter@fahmipkg perlu disiasat kerana ia jelas merupakan penghinaan yang amat buruk kepada seluruh umat Islam.

Malahan, tegas beliau, kenyataan tersebut juga merupakan satu provokasi yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman negara.

"Apakah kenyataan begitu menunjukkan mereka (Pas) benar-benar perjuangkan agama suci ini. Kita minta perkara ini disiasat dan jika salah, tangkap ,'" katanya pada sidang akhbar di IPD Ipoh di sini hari ini.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi Rabu lalu, Khairul Fahmi menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."

Tindakan pemimpin tersebut dikecam pelbagai pihak termasuk ahli agama di negara ini. - UTUSAN ONLINE
'Kami tak mahu tinggal di situ lagi' - Penduduk Kampung Tanduo

LAHAD DATU, AHAD, 31 Mac, 2013: Pendaratan kumpulan militan dari selatan Filipina di pesisir pantai Lahad Datu, khasnya di Kampung Tanduo, dekat sini 12 Feb lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk sekaligus merubah rutin kehidupan daripada ceria kepada malapetaka.

Diselimuti hutan sekunder dan dipisahkan sebatang sungai dari kawasan ladang kelapa sawit Sungai Nyamuk, petempatan itu yang dilatari pokok-pokok renek dan kawasan berpaya serta menghadap laut didiami 12 keluarga, rata-rata bekerja sebagai nelayan dan pekerja ladang.

Namun, dalam sekelip mata kedamaian perkampungan itu lenyap dan bertukar menjadi zon perang apabila sekumpulan lelaki asing berpakaian ala tentera dan bersenjata api mendarat pada hari Selasa, lebih sebulan lepas.

Kedegilan kumpulan kira-kira 200 orang itu berundur dari Kampung Tanduo setelah diberi peluang, memaksa kerajaan melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu pada kira-kira 7 pagi, 5 Mac menggunakan tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.

Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu-talu mortar 91mm pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu saki-baki pengganas.

Setelah melalui proses penggeledahan dan pembersihan yang panjang, Kampung Tanduo yang menjadi titik pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan akhirnya diisytihar bersih dan bebas daripada ancaman pada 11 Mac, sekaligus membawa khabar gembira kepada penghuninya yang terpaksa berpindah ke beberapa pusat petempatan sementara.

Bagaimanapun, kegembiraan penduduk untuk kembali ke rumah bertukar pilu apabila melihat sendiri kemusnahan yang dialami kampung mereka.

Kepulangan semula mereka ke rumah masing-masing Selasa lalu selepas 43 hari insiden pencerobohan disambut pemandangan menyayat hati menyaksikan ketenangan kampung yang dinikmati sebelum ini lenyap daripada pandangan dengan rumah-rumah dan harta benda musnah.

Hampir semua rumah mempunyai kesan tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba tidak lengkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam peperangan di luar negara menerusi televisyen.

"Saya tidak mahu tinggal di sini lagi...," ungkapan oleh Atareh Sabtal, 39, cukup untuk menggambarkan kehampaan dan kepiluan penduduk kampung itu.

Kenangan hiba yang bakal kekal dalam ingatan itu diceritakan semula oleh Asaad Majijil, 70, yang memberitahu bahawa pertempuran itu menyebabkan beliau dan keluarga kehilangan dokumen peribadi setelah rumah yang didiami sejak 50 tahun lepas musnah sama sekali.

"Sangat sedih untuk melihat keadaan rumah, memang teruk, dahsyat dan menakutkan," katanya sambil air mata berlinangan.

Berikutan kerosakan teruk yang dialami kampung itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib kemudian mengumumkan Kampung Tanduo akan ditutup serta tidak lagi menjadi kawasan petempatan dan penduduk yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir berkata, keputusan itu membolehkan pihak berkuasa menyusun semula penduduk kampung itu yang sebelum ini tinggal secara berselerak di satu kawasan penempatan baharu yang lebih kondusif di atas tanah kerajaan seluas 120 hektar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said pula berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana semua yang terlibat akan ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Masej Nala, kira-kira 60 kilometer dari kampung itu sebelum penempatan baharu disiapkan.

Menyambut baik langkah menempatkan semula penduduk kampung itu di satu kawasan baharu, Atareh, yang masih trauma selepas menyaksikan rumahnya musnah teruk, berkata keputusan itu amat tepat, sekaligus mengembalikan keyakinan mereka untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya tidak mahu tinggal di sini lagi...saya juga tidak mahu tinggal dalam komuniti yang mempunyai musuh dalam selimut, jadi adalah baik jika ditawarkan sistem perumahan yang teratur," katanya.

Dalam pada itu, seorang komando tentera yang terlibat dalam operasi awal memerangi pengganas di Kampung Tanduo berkata, lokasi kampung itu yang agak jauh dan terasing daripada masyarakat memungkinkan pelbagai kejadian jenayah selain mudah terdedah kepada ancaman pengganas, khususnya dari laut.

"Lokasinya yang hampir dengan laut dan dekat dengan negara jiran cukup berisiko, ditambah lagi dengan keadaan hutan serta berpaya dan laluan berliku untuk sampai ke kampung itu... ini semua menyukarkan pihak keselamatan memberi bantuan segera sekiranya terjadi sesuatu insiden buruk," katanya yang enggan dikenali. - BERNAMA
MB Perlis sertai gotong-royong baiki rumah warga emas

KANGAR, AHAD, 31 Mac, 2013; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu hari ini menyertai kira-kira 150 anggota Gerakan Belia 4B Malaysia negeri Perlis membaiki rumah seorang warga emas di Kampung Wang Besar dekat sini.

Ahmad Ngah, 71, yang mendiami rumah daif itu bersama isteri dan dua anak mereka jelas gembira dengan keprihatinan Menteri Besar dan juga kumpulan belia yang bergotong-royong membaik pulih rumahnya.

"Saya gembira sebab hari ini orang muda masih amalkan semangat gotong-royong yang menjadi simbol kerjasama orang Melayu," katanya kepada pemberita.

Hadir sama pada program itu isteri Md. Isa, Datin Seri Asiah Asmuni.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Belia 4B Perlis, Haslinda Ahmad berkata, program berkenaan merupakan khidmat masyarakat Skuad Prihatin Belia 4B Perlis.

Program sebegini selaras dengan matlamat pertubuhan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat melalui kerja-kerja sosial, katanya. - BERNAMA
PM, keluarga makan tengah hari di Little Penang Cace, Petaling Jaya

 *PERDANA Menteri melayan kanak-kanak ketika meluangkan masa untuk menjamu selera bersama keluarganya di sebuah restoran di pusat beli-belah Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Rosmah Mansor (duduk, dua, kiri), anak-anak beliau, Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev. - BERNAMA
 *NAJIB Tun Razak (kanan) membeli aiskrim ketika meluangkan masa di hujung minggu bersama keluarga di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA

PETALING JAYA, AHAD, 31 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga hari ini meluangkan masa di hujung minggu untuk menjamu selera bersama orang ramai di sebuah restoran di pusat beli-belah di sini.

Najib, yang kelihatan santai dengan berbaju T putih bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak iaitu Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang, Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev memilih kedai makan 'Little Penang Cafe' yang menawarkan masakan asli penjaja Pulau Pinang untuk menjamu selera.

Antara pesanan makanan yang dibuat Perdana Menteri dan keluarganya ialah asam laksa, laksa kuah lemak Siam, 'Aromatic Chicken Set' dan 'Penang Hokkien Prawn Mee' berserta milo ais, cincau dan barli, dengan pencuci mulut rojak buah.

Kehadiran pemimpin nombor satu negara bersama keluarga di restoran itu telah menarik perhatian pengunjung ke pusat beli-belah itu yang turut mengambil peluang beramah mesra dan bergambar bersama mereka.

Najib dan keluarga meluangkan masa kira-kira sejam di restoran itu.

Seorang kakitangan restoran yang mengambil pesanan makanan Perdana Menteri dan keluarga, Jumat Kasneh berkata, beliau berasa teruja dan gembira dengan ketibaan perdana menteri bersama keluarga.

"Perdana Menteri sangat mesra dengan semua orang dan senang untuk berkomunikasi," katanya yang sudah bekerja di restoran itu selama 10 tahun. - BERNAMA
FAMA Kelantan sasar pengeluaran buah, sayuran RM5.4 juta tahun ini

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
KOTA BHARU, AHAD, 31 Mac, 2013: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyasarkan pengeluaran hasil buah-buahan dan sayur- sayuran sebanyak RM5.4 juta pada tahun ini berbanding RM4.3 juta tahun lalu.

Pengarah FAMA Wilayah Timur 1, Mohd. Ariffin Awang berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan projek ladang kontrak di seluruh negeri.

"Kita mesti meningkatkan produk daripada ladang kontrak tersebut untuk memastikan pengeluaran buah- buahan dan sayur- sayuran bertambah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara FAMA dengan peserta ladang kontrak di sini hari ini.

Mohd. Ariffin berkata, pihaknya akan membantu lebih ramai petani untuk menyertai projek tersebut selaras dengan komitmen kerajaan bagi mengukuhkan sektor pertanian negara. - UTUSAN ONLINE
9 NGO buat laporan polis ceramah Anwar di Mergong

ALOR SETAR, AHAD, 31 Mac, 2013: Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis mengenai program ceramah yang dijadual disampaikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Wira, Mergong di sini malam ini yang didakwa akan menggangu ketenteraman penduduk.

Laporan itu dibuat Yang Dipertua Pertubuhan Silat Garuda Malaysia, Mansor Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mansor berkata, ceramah yang dijadualkan pada 10.30 malam ini di padang bola yang terletak berdekatan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) itu dibimbangi akan mencetuskan kekecohan.

Wakil penduduk Taman Wira, Mohd Zubir Abd Rahman, 43, berkata, penduduk taman menentang keras kehadiran Anwar kerana ceramah boleh menggangu ketenteraman mereka.

"Kedudukan padang bola di tengah-tengah kawasan taman perumahan sudah tentu mengganggu anak-anak yang mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk menghadapi peperiksaan.

"Kita tahu Anwar bila mai (datang), orang-orang dia agresif... semua penduduk menjadi tidak selesa. Kalau dia nak tawan Putrajaya bukan di sini tempat untuk berceramah," katanya sambil mendakwa ceramah itu tidak mendapat permit.

Antara sembilan NGO itu ialah Badan Generasi Perihatin (BG3R), Pegerakan Pemuda Umno Cawangan Blok B Taman Wira, Skim Rondaan Sukarela Perumahan Awam Mergong dan Perkasa Kota Setar. - BERNAMA
Lima pondok Kampung Kolam hangus terbakar, warga emas terselamat

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
BACHOK, AHAD, 31 Mac, 2913: Tindakan pantas seorang jiran berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang menghidap angin ahmar daripada menjadi mangsa kebakaran apabila lima buah pondok agama di Kampung Kolam di sini musnah dalam satu kebakaran, pagi ini.

Rugayah Md. Noor, 68, ketika menceritakan saat cemas yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu memberitahu, dia terpaksa dipapah keluar dalam keadaan bertongkat oleh jirannya.

"Masa itu makcik baru nak makan pagi. Tak tahu pun ada pondok terbakar sehingga jiran datang memapah makcik keluar," katanya semasa ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Dia memberitahu, semasa kejadian, suaminya, Hasbullah Mohamad, 71, yang juga mudir pondok berkenaan tiada di rumah kerana keluar membeli surat khabar.

Hasbullah semasa ditemui berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas dimaklumkan orang ramai dan bersyukur tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan nyawa berlaku walaupun semua barang tidak dapat diselamatkan termasuk kitab dan buku-buku agama.

"Alhamdulillah, tidak ada kemalangan yang tidak diingini berlaku. Isteri saya selamat. Semua penghuni yang tinggal di lima pondok yang musnah itu tiada pada masa kejadian.

"Mungkin semua keluar rumah untuk ke pasar atau ke rumah anak-anak kerana kelas pengajian hanya pada waktu malam," katanya. - UTUSAN ONLINE
UMNO Pinang Tunggal turun padang jawab tuduhan pembangkang

KEPALA BATAS, AHAD, 31 Mac, 2013: UMNO akan menggiatkan usaha turun padang memberi penerangan kepada penduduk di Pinang Tunggal di sini, bagi menjawab tuduhan dan kenyataan tidak benar yang disebar pembangkang kebelakangan ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin berkata, pembangkang cuba masuk ke kubu kuat Barisan Nasional (BN) di situ dengan menyebarkan tuduhan dan maklumat yang salah bagi mengelirukan penduduk kawasan berkenaan.

"Memang sebelum ini kita sentiasa beri penerangan kepada penduduk di sini tetapi usaha itu ditingkatkan dengan pergi ke rumah-rumah dan memberi penjelasan perkara sebenar yang kerajaan BN telah buat supaya mereka memperoleh maklumat yang betul.

"Pembangkang sekarang ini bertindak menyebarkan maklumat tidak tepat dengan memasang 'billboard' menyatakan mereka telah laksanakan pelbagai pembangunan termasuk meningkatkan peruntukan bagi perbelanjaan untuk orang Islam di negeri ini, sedangkan semua itu dilaksanakan oleh BN, mereka cuba mengelirukan pengundi di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama sekumpulan penduduk di Pinang Tunggal berkumpul secara aman bagi membantah tindakan kerajaan negeri memasang papan iklan yang mempamerkan peningkatan peruntukan untuk umat Islam di Pulau Pinang setiap tahun.

Roslan berkata, bagi mematahkan maklumat kurang tepat pada papan iklang berkenaan, pihaknya turut memasang sepanduk di beberapa tempat di Pinang Tunggal bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Kita tidak mahu penduduk di sini terpedaya atau keliru dengan taktik kotor pembangkang, jadi saya mengambil tindakan pantas dengan memasang sepanduk bagi memaklumkan perkara sebenar," katanya.

Katanya, beliau yakin penduduk Pinang Tunggal tidak akan mudah terpengaruh dengan pembangkang dan akan terus menyokong BN serta memberi mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memerintah negara pada pilihan raya umum nanti.

"Sokongan penduduk di sini semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka tahu hanya BN mampu menjamin keamanan dan kemajuan negara," katanya. - BERNAMA
41 pemimpin MKK Baling kesal dipecat Pas

Oleh AZMAN MD. NOOR
BALING, AHAD, 31 Mac, 2013: Seramai 41 orang pengerusi dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dan Bayu kesal kerana perkhidmatan mereka ditamatkan tiba-tiba sejak September lalu.

 

Ahli-ahli Pas itu mendakwa, pemecatan itu dilakukan oleh seorang wakil rakyat dari Pas yang juga pemimpin tertinggi Pas daerah berkenaan.

Bekas MKK Kampung Raja, Mohd. Rusli Hussin berkata, pemecatan itu mengejutkan mereka kerana kerajaan negeri sebelum ini memutuskan tempoh perkhidmatan MKK disambung sepanjang 2013.

"Jawatan kami kini disandang oleh muka baru yang merupakan penyokong kuat kepada pemimpin itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rusli berkata, dia bersama rakan lain kecewa, kesal dan malu dengan penamatan khidmat itu kerana tindakan itu seolah-olah tidak menghargai perjuangan mereka selama ini dan hanya diketahui setelah melakukan semakan di Pejabat Daerah. - UTUSAN ONLINE
Pusat Pemeriksaan ICOS beroperasi di ESSCOM Selasa ini  

LAHAD DATU, AHAD, 31 Mac, 2013:Tiga pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan beroperasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mulai Selasa ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiga pejabat sementara yang diwujudkan itu akan beroperasi di Lahad Datu, Kudat dan Pos Kawalan Imigresen Bersepadu Kerakit, Pulau Banggi.

"Dua belas kabin akan diguna sebagai pejabat sementara yang merangkumi enam kabin di ICQS Lahad Datu, empat kabin di Kudat dan dua di Pulau Banggi. Semua kabin telah tiba di lokasi Khamis lepas," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak ICQS Lahad Datu di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, 14 pegawai akan ditempatkan sementara di setiap ICQS dan pos kawalan yang turut dianggotai unit Risikan dan penguatkuasaan Jabatan Imigresen. - BERNAMA
Pulau Pinang dah ada dua jambatan - Pak Lah

KEPALA BATAS, SABTU, 30 Mac, 2013:Tindakan terburu-buru Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu membina terowong dasar laut hanya bertujuan meraih publisiti tanpa mempunyai perancangan yang teliti.

Malah pembinaan terowong dari Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam, Butterworth itu bukanlah satu keperluan mendesak bagi menyelesaikan masalah lalu lintas dan isu kepadatan trafik di bahagian pulau negeri tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembinaan terowong itu tidak sesuai kerana Pulau Pinang kini telah memiliki dua jambatan bagi menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar.

"Saya rasa terowong itu bukan keperluan ketika ini kerana kita sudah ada dua jambatan termasuk jambatan kedua yang akan beroperasi September ini, jadi mengapa perlunya mahu bina terowong dasar laut lagi.

"Kerajaan negeri juga perlu melihat masalah jangka panjang kesan daripada pembinaan terowong itu terutama kepada nelayan pesisir pantai yang terjejas mata pencarian berikutan pembangunan yang tidak terancang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karisma Teman 1Azam Kepala Batas di sini hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas mengulas laporan akhbar mengenai hasrat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bertegas meneruskan projek mega bernilai RM6.3 bilion meliputi pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer meskipun mendapat bantahan banyak pihak.

Beliau juga menjelaskan, biarpun pernah dicadangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Pulau Pinang, hasrat itu diubah kerana pembinaan jambatan kedua dirasakan lebih relevan untuk mengatasi isu kesesakan trafik berkenaan.

"Kita ubah fikiran dengan tidak melaksanakan projek terowong ini sebaliknya membina jambatan kedua kerana langkah itu dirasakan terbaik dan lebih relevan untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dari tanah besar ke pulau," ujarnya. - UTUSAN
Tambah 1,000 lagi motosikal

 *NAJIB Tun Razak mendengar pandangan salah seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sambil diperhatikan oleh Ismail Omar (kanan) pada perasmian Unit Rondaan Bermotosikal bagi kawasan kejiranan Subang Jaya, di Subang Jaya, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan HAFIZHAN RAHMAT
KUALA  LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Kerajaan berpuas hati dengan keberkesanan Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah kejiranan sehingga berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melancarkan fasa kedua 1,000 lagi Unit Rondaan Bermotosikal menggunakan jentera Kawasaki 250 R dalam masa terdekat.

Katanya, fasa kedua tersebut akan dijayakan sebaik sahaja PDRM mengenal pasti dan memberi latihan kepada anggota yang bakal dipertanggungjawabkan sebagai unit rondaan kerana dana bagi tujuan itu telah tersedia.

"Ini jaminan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah sebagaimana terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kita mahu rakyat khususnya di kawasan kejiranan berasa selamat pada sebilang masa.

"Unit Rondaan Bermotosikal ini terbukti sangat berkesan kerana selain kita berjaya melancarkan enam bulan lebih awal untuk fasa pertama, kadar tindakan balas yang pantas juga menambah keyakinan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal bagi kawasan kejiranan Subang Jaya, di Pusat Kemudahan Masyarakat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop serta Datuk Lee Chee Leong; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan pegawai kanan PDRM.

Sebelum itu, Ismail ketika berucap berkata, Unit Rondaan Bermotosikal berjaya membuat 207 tangkapan di seluruh negara sejak diperkenalkan 19 Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri memberi ingatan kepada pihak-pihak tertentu agar jangan memandang sinis usaha keras kerajaan dalam membasmi kadar jenayah untuk menjadikan Malaysia lebih aman.

"Inilah Malaysia yang kita dambakan. Malaysia yang semakin hari semakin aman dan makmur jadi jangan ada pihak tertentu memandang sinis apa yang kita sedang dan bakal laksanakan sebagaimana digaris di bawah NKRA," jelasnya.

Serentak dengan itu juga, Najib mahu anggota polis yang dipertanggungjawab sebagai Unit Rondaan Bermotosikal bukan sekadar membuat rondaan semata-mata tetapi mesti mendekati masyarakat agar tiada jurang antara mereka.

Jelasnya, amalan kepolisan berUSANorientasikan masyarakat penting untuk memastikan orang ramai selasa untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan sekali gus menjadikan usaha membanteras jenayah mampu dilaksana secara holistik. - UTUSAN

Stadium bertaraf Olimpik janji baharu Pas Kelantan

 *REPLIKA stadium konon setanding Stadium Olimpik Beijing yang dikatakan akan dibina oleh kerajaan Pas Kelantan di kaki Bukit Merbau, di pedalaman Pasir Puteh, Kelantan. Majlis pecah tanahnya dilakukan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini. - UTUSAN

PASIR PUTEH, SABTU, 30 Mac, 2013: Meskipun banyak projek mega dilancarkan Kerajaan Pas Kelantan masih gagal ditunaikan, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta rakyat `memberi kepercayaan’ kepada satu lagi projek mega kerajaan negeri iaitu stadium bola sepak.

Walaupun tidak memaklumkan bila projek itu dijangka siap, Nik Abdul Aziz memberitahu stadium itu lebih hebat daripada mana-mana stadium terkemuka di dunia dan setaraf dengan Stadium Olimpik Beijing di China atau lebih dikenali sebagai stadium sarang burung .

Majlis pelancaran projek bernilai RM320 juta membabitkan kawasan seluas lebih 100 hektar itu berlangsung di kaki Bukit Merbau di sini.

Tindakan mengumumkan pembinaan sebuah stadium tersebut dilihat seakan-akan cuba menyaingi pengumuman tujuh projek besar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu melawat Kelantan pada 20 Januari lalu.

Selain pembinaan stadium baharu, Najib turut mengumumkan projek-projek lain merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan menyelesaikan masalah air.

Pada majlis tersebut juga Nik Abdul Aziz mengumumkan satu lagi janjinya iaitu pembinaan sebuah bandar sukan dengan 300 unit rumah mampu milik, hotel, kawasan perniagaan serta beberapa unit rumah mewah di kawasan tersebut.

"Saya hari ini begitu gembira. Saya guna suara terlalu kuat tadi sampai letih sangat dan tidak lalu makan kerana selera makan sudah tiada," katanya ringkas dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah tersebut.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) baru-baru ini menyifatkan projek stadium itu merupakan satu lagi sandiwara Kerajaan Pas Kelantan untuk menarik sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Presidennya, Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, Kerajaan Pas Kelantan adalah sebuah kerajaan yang hanya 'pecah tanah, sodok jalan dan pasang batu asas' dalam setiap projek dilancarkan.

Menurut beliau, beberapa projek mega Pas Kelantan sebelum ini hanya menjadi kenangan untuk rakyat antaranya Jambatan Palekbang, Pelabuhan Darat Kuala Krai, Pelabuhan Pantai Sri Tujoh, Bandar Baru Pengkalan Kubor serta Koridor Depu. - UTUSAN
Pengganas: 49 rumah penduduk musnah, 61 lagi rosak

 *KEADAAN salah sebuah rumah penduduk Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu yang musnah akibat serangan kumpulan pengganas Kiram. Para penduduk kampung itu dibawa meninjau kerosakan rumah mereka, di Lahad Datu hari ini. - UTUSAN

LAHAD DATU, SABTU, 30 Mac, 2013: Sebanyak 26 daripada 140 rumah di Kampung Tanjung Labian disahkan mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi boleh diduduki, manakala 16 rumah lagi didapati rosak tetapi masih boleh didiami.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, di Kampung Tanjung Batu pula, sebanyak 23 rumah musnah teruk dan 45 lagi rosak tetapi masih boleh diduduki.

"Pengiraan itu dibuat oleh pasukan penilai yang melawat kedua-dua kampung terbabit bersama lebih 140 ketua keluarga.

"Semua penduduk di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas mengenai Ops Daulat, Hamza berkata, ia masih diteruskan sehingga kini kerana operasi itu bukan sahaja tertumpu di Lahad Datu tetapi turut melibatkan dua daerah lain iaitu Semporna dan Sandakan. - UTUSAN
Fasa kedua Unit Rondaan Bermotosikal akan dilancar - PM

PETALING JAYA, SABTU, 30 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan akan melancarkan fasa kedua membabitkan 1,000 buah lagi motosikal Kawasaki 250R untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam masa terdekat.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan bersetuju meluluskan projek fasa kedua unit tersebut selepas melihat keberkesanan fasa pertama membanteras jenayah di kawasan kejiranan.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, URB telah berjaya membuat 207 tangkapan di seluruh negara sejak diperkenalkan 19 Disember tahun lalu.

Katanya, sehingga 20 Mac lalu, Selangor mencatatkan bilangan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 129 kes diikuti Johor (38), Kuala Lumpur (30) dan Pulau Pinang (10). - UTUSAN
KPT mahu perkasa bidang keusahawanan di politeknik

KOTA BHARU, SABTU, 30 Mac, 2013: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Pusat Keusahawan Politeknik Malaysia (MPEC) memperkenalkan Pelan Strategik dan Tindakan dalam usaha memperkasa bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar politeknik di seluruh negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, pelan jangka pendek tersebut berlangsung dalam tempoh dua tahun bermula sekarang dan akan berakhir pada 2015 nanti.

Menurutnya, melalui pelan tersebut pihaknya mahu memberikan pendedahan dan memupuk budaya usahawan dalam kalangan pelajar politeknik agar mereka menjadikan bidang berkenaan sebagai pilihan selepas tamat pengajian kelak.

"Usaha ini mampu dicapai dengan sokongan seluruh warga politeknik di seluruh negara dan kita perlu bersatu bagi memastikan pelaksanaan program ini berjalan dengan baik.

"Menerusi pelan ini juga semua pelajar yang terlibat akan didedahkan dengan program berimpak tinggi agar usahawan yang kita lahirkan mampu berdaya saing sebaik mungkin.

"Pihak KPT menyediakan pelbagai bantuan dana kepada mereka yang mahu menjayakan program keusahawanan selain pembiayaan oleh agensi kewangan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberit pada Majlis Pelancaran Tahun Keusahawanan Politeknik Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. - UTUSAN
LIMA 2013 catat kejayaan, tarik 185,000 pengunjung - Zahid

Oleh KHAIRULANUAR YAHYA
LANGKAWI, SABTU, 30 Mac, 2013: Penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 mencatatkan kejayaan apabila berjaya menarik lebih 185,000 pengunjung melebihi daripada 150,000 yang disasarkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 81,390 mengunjung pameran miritim manakala 32,000 lagi di pameran udara.

Menurut beliau, LIMA 2013 juga dianggap mencapai kejayaan apabila mencatatkan peningkatan dari segi jumlah dan nilai aset yang dipamerkan.

"LIMA 2013 juga merupakan pameran ketiga terbesar seumpamanya di dunia. Ia merupakan kejayaan yang cukup bermakna kepada negara," kata beliau pada sidang akhbar penutup LIMA 2013 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, penganjuran LIMA 2015 juga akan dilangsungkan pada musim cuti persekolahan pada bulan Mac manakala jumlah pengunjung awam tidak akan dilanjutkan lebih daripada dua hari seperti sebelum ini.

"Tiga elemen diambil kira dalam mengadakan LIMA iaitu membawa individu ditahap membuat keputusan bagi meningkatkan nilai, kedua menjemput pemain industri di seluruh dunia bagi meningkatkan perniagaan mereka di negara masing-masing. Sementara elemen ketiga, pemadanan perniagaan juga dilakukan oleh pengunjung perniagaan," katanya.

Jelasnya, tiga elemen tersebut yang membezakan LIMA dengan pameran lain.

Pihak penganjur mensasarkan 200,000 pengunjung awam dan 40,000 pengunjung perniagaan pada LIMA 2015. - UTUSAN
226,000 mohon Bantuan Lesen 1Malaysia di Kelantan

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
KOTA BHARU, SABTU, 30 Mac, 2013: Sebanyak 148,000 permohonan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) telah diluluskan sehingga 1 Mac lalu berbanding jumlah keseluruhan permohonan di seluruh negara seramai 226,000 orang.

Pengerusi BL1M, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, mereka yang telah mendapat kelulusan tersebut akan mengikuti Kursus Pendidikan Pemandu 1 (KPP 1) yang akan dikendalikan oleh pegawai daripada institut memandu yang bertanggungjawab.

Katanya, kursus berkenaan terpaksa diadakan secara berperingkat memandangkan bilangan pemohon di seluruh negara yang begitu ramai.

"Nisbah bilangan pemohon yang ramai ini dengan institut memandu yang ada di seluruh negara, kita tidak boleh adakan kursus ini secara sekali gus. Kita juga mesti mematuhi prosedur atau undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kursus dan Taklimat BL1M KPP 1 Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini. - UTUSAN
Usaha jatuhkan semangat pejuang di Sabah kerja musuh

 *ZAINI Mohd Said (kanan) ketika berucap pada Forum Kedua Masa Depan Kita, Cabaran Keselamatan anjuran Pertubuhan Nadi Dialog Malaysia di Hotel Marriott Putrajaya hari ini. Turut hadir Bekas Ketua Polis Negara,Tan Sri Abdul Rahim Noor (tiga dari kanan) - UTUSAN

PUTRAJAYA, SABTU, 30 Mac, 2013: Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Datuk Seri Zaini Mohd. Said terkejut dan kecewa dengan tindakan bekas pemimpin tentera yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan semangat anggota pasukan keselamatan di Sabah.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan tidak harus dikeluarkan pada ketika angkatan tentera berjuang habis-habisan mempertahankan kedaulatan negara kerana ia umpama kerja musuh.

"Apabila angkatan tentera berjuang, kita tidak boleh lakukan apa-apa perkara yang boleh melemahkan semangat mereka.

"Ini (usaha untuk melemahkan semangat) adalah kerja musuh di mana ia dilakukan untuk meruntuhkan moral pasukan kita," katanya dalam forum Masa Depan Kita: Cabaran Keselamatan yang dianjurkan Nadi Dialog Malaysia di sini hari ini.

Seorang bekas pemimpin tentera baru-baru ini dilaporkan memperlekeh aset pertahanan negara termasuk mempersoal sama ada radar pertahanan negara berfungsi atau sebaliknya. - UTUSAN
Pengganas Sulu lepas geram

 *ABDUL JABBAR menenangkan isterinya, Norhaya yang sedih melihat
 rumah kedaimereka yang musnah angkara pengganas di Kampung Tanjung
 Labian, Lahad Datu semalam.

Oleh MUSTAPA LAKAWA dan MOHD. YUNUS YAKKUB
LAHAD DATU, SABTU, 30 Mac, 2013: Kehidupan kira-kira 1,400 penduduk di Kampung Tanjung Labian di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa menghadapi masa depan suram dan beban hutang gara-gara pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu.

Selepas sebulan meninggalkan rumah dan menghuni pusat pemindahan ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu, sebahagian penduduk dibawa memasuki kawasan kampung itu sebelum dikejutkan dengan penemuan banyak harta masing- masing yang musnah terbakar atau dirosakkan.

Tidak cukup dengan rumah, kedai runcit dan bengkel kenderaan, peralatan untuk mencari sesuap nasi seperti bot nelayan turut dimusnahkan.

Sedih dengan apa yang dilihat, beberapa orang penduduk meraung, menangis, menjerit, terduduk dan bertakbir.

Siti Aminah Hiya, 21, berkata, kehidupannya kini sudah tidak bermakna apabila rumah yang dihuni beberapa tahun lalu musnah.

Lebih memburukkan keadaan apabila bot dan enjin yang diguna oleh suami ke laut menangkap ikan turut terbakar.

"Bot dan enjin ini saya dapat hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM1,500 beberapa bulan lalu dan baru sekali saya bayar balik pinjaman.

"Sekarang bot sudah hancur, bagaimana saya dan suami hendak mencari rezeki bayar balik pinjaman? Rumah juga dibakar dan apa yang ada sekarang hanyalah baju yang kami pakai ini," katanya. - KOSMO!
Pelbagai usaha bela kebajikan rakyat - TPM


 *MUHYIDDIN Yassin diiringi Mohd. Khamil Jamil (kiri) bersalaman
 dengan warga kerja Pos Malaysia pada majlis Ramah Mesra Bersama
 Warga Kerja Pos Malaysiadi Pusat Mel Nasional, Shah Alam, semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM, SABTU. 30 Mac, 2013: Timbalan Perdana Menteri mahu rakyat mengetahui kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah banyak melaksanakan pelbagai usaha membela kebajikan serta mengurangkan beban seluruh rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun ada sebilangan rakyat mungkin tidak sedar usaha itu, mereka sebenarnya telah merasai nikmat yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam setiap aspek kehidupan dari segi keselamatan, ekonomi, pelajaran, infrastruktur sehinggalah kepada peningkatan pendapatan.

Malah katanya, kerajaan pimpinan BN juga telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan kos hidup rakyat seperti melaksanakan pemberian subsidi terhadap barangan keperluan rakyat, pengawalan harga barang dan sebagainya.

"Kita lihat dalam tempoh tiga tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi peluang menerajui negara, beliau terperinci dalam setiap usaha memastikan keperluan rakyat, bukannya secara rawak atau rambang.

"Malah beliau telah mengarahkan saya untuk mempengerusikan Jawatankuasa Petugas Penyampaian memantau menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi memastikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mencapai sasaran,'' katanya di hadapan lebih 2,000 warga Pos Malaysia di Pusat Mel Nasional di sini hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan juga mengenal pasti keperluan rakyat supaya mereka tidak berasa diabaikan.

''Pemimpin juga sepanjang masa turun padang untuk mengetahui serta merasai denyut nadi rakyat," ujarnya.

Yang hadir sama dalam majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Pos Malaysia itu ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Pos Malaysia, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.

Pada masa sama, Muhyiddin menegaskan, dari segi ekonomi pula, kerajaan pimpinan BN turut melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang telah memberikan kesan besar kepada pertumbuhan negara meskipun negara-negara maju lain berhadapan dengan krisis seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Pertumbuhan itu jelas beliau, dapat disaksikan menerusi prestasi positif Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita negara yang meningkat kepada 49 peratus.

"Pola itu akan menyaksikan Malaysia mencapai sebuah negara yang berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada yang dijangkakan.

"Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan BN membangunkan negara dan kita percaya menjelang 2020, negara kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju lain,'' ujarnya.

Malah katanya, pakar-pakar ekonomi ada meramalkan Malaysia mampu mencapai sasaran negara maju lebih awal iaitu pada 2018.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri dalam majlis itu turut mengumumkan tiga berita gembira untuk 16,191 warga kerja Pos Malaysia di seluruh negara.

Tiga berita baik itu ialah kesemua warga Pos Malaysia akan menerima Pelan Perlindungan Insurans untuk diri sendiri dan keluarga mereka melibatkan peruntukan RM670,000.

Selain itu, warga kerja Pos Malaysia juga menikmati sumbangan Netbook 1Malaysia untuk anak-anak mereka yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan imbuhan istimewa sebanyak RM500 bagi warga kerja Pos Malaysia yang pembayarannya akan dibuat bersama gaji pada April ini. - UTUSAN
Warga emas dakwa dianiaya
 
 *SEBAHAGIAN penduduk dan wakil NGO mengadakan bantahan aman 
setelah pakatan pembangkang mendirikan khemah dan markas PKR atas
 tanah warga emas yang diceroboh sejak Februari lalu di Teluk Kumbar,
 Pulau Pinang, semalam. - MINGGUAN/ Malinda Abdul Malik

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
PULAU PINANG, SABTU, 30 Mac, 2013: Pakatan Pembangkang dilihat semakin terdesak apabila didakwa sanggup 'menceroboh' tanah milik seorang warga emas untuk dijadikan 'markas' bagi menjalankan kegiatan politik di Teluk Kumbar di sini.

Markas yang dipenuhi bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikatakan giat menjalankan aktiviti politik sejak Februari lalu, termasuk menjadikan tempat tersebut sebagai salah sebuah pusat jentera pilihan raya kawasan berkenaan.

Hashim Ahmad, 60, yang membuat dakwaan tersebut berkata, kawasan tanah pusaka milik keluarganya itu digunakan oleh PKR untuk menjalankan aktiviti parti.

Menurutnya, tanah itu pernah disewakan oleh arwah bapanya kepada pihak lain suatu waktu dahulu, namun tiada bayaran sewa diterima hingga kini.

"Sudah banyak aduan saya buat kepada pihak berkuasa, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, namun tiada sebarang tindakan diambil.

"Saya mahukan pembelaan, ini tanah saya, macam mana mereka boleh ceroboh? Siapa bagi mereka kebenaran itu?,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut Hashim mendakwa, beliau dan keluarganya kini ditindas beberapa pihak dengan menggunakan kuasa yang mereka ada.

"Orang yang ceroboh tanah saya adalah orang berpengaruh hingga Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga mendiamkan diri walaupun saya buat aduan mereka bina markas haram.

"Bukannya nak mai (datang) roboh tapi siap sumbangkan khemah untuk didirikan di situ," ujarnya.

Sebelum itu, lebih 50 penduduk kawasan Teluk Kumbar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman membela hak Hashim yang dikatakan ditindas pihak tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Belia Barat Daya, Hisham Abdul Hamid berkata, pihaknya mahu tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, parti politik sepatutnya menolong rakyat bukan merampas hak mereka seperti yang berlaku.

"Kita mahu MPPP robohkan markas haram ini, jangan cuba rampas hak warga emas ini, kami serta penduduk di sini tak akan berdiam diri jika tiada pembelaan terhadap pakcik Hashim.

"Saya juga ingin ingatkan kepada parti politik agar pilih tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti parti jangan sesekali membangkitkan kemarahan penduduk khususnya kami di sini," katanya. - UTUSAN
Pas Kelantan didesak selesai segera isu tanah

PASIR MAS, SABTU, 30 Mac, 2013: Kerajaan Pas negeri didesak segera menyelesaikan masalah tanah di Hulu Kelantan, bukannya mencari pelbagai alasan sehingga memaksa rakyat bangkit mengadakan bantahan memohon campur tangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, bantahan lebih 5,000 rakyat memohon campur tangan Sultan dalam isu pencerobohan dan pemilikan tanah di Hulu Kelantan kelmarin, sangat memalukan kerana masalah berlaku disebabkan kelemahan kerajaan Pas negeri.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku sekiranya kerajaan Pas negeri mempunyai mekanisme tertentu bagi mengatasi masalah tersebut secara bijaksana.

"Jika benar ada peneroka yang mendapatkan tanah melalui sindiket, tidakkah kerajaan negeri tahu mengenai perkara tersebut? Jika tahu kenapa kerajaan negeri tidak membuka permohonan bagi membantu rakyat.

"Malah, kerajaan negeri boleh mengarahkan agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Tanah Jajahan masuk kawasan, mengenal pasti rakyat yang berdepan dengan masalah, bukan bagi tanah kepada pihak luar dan tuduh rakyat dapat tanah melalui sindiket," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan persekolahan tajaan Yayasan Pelajaran Mara (TYPM) di sini yang turut dihadiri, Pengurus YPM Kelantan, Mohd. Fauzi Muhammad dan Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia YPM, Mohd. Amran Ariffin.

Kelmarin, lebih 5,000 rakyat Kelantan berhimpun di Dataran Al-Muhammadi berhampiran Istana Balai Besar, Kota Bharu bagi menyuarakan kemarahan terhadap kerajaan Pas negeri berhubung isu penjualan tanah di negeri ini kepada pihak luar.

Perhimpunan itu yang diketuai Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Azmi Ali kemudiannya menyerahkan memorandum kepada Sultan Kelantan memohon campur tangan baginda menyelesaikan masalah tersebut.

Polemik penjualan tanah di Hulu Kelantan bermula ekoran projek Ladang rakyat yang dibangunkan kerajaan Pas Kelantan gagal memberi manfaat kepada peserta sebaliknya hanya menyebabkan bumi Kelantan gondol dan berlaku pencemaran air serta alam sekitar.

Penjualan tanah secara berleluasa itu menjadi semakin panas selepas sebuah blog, pisau.net tahun lalu mendedahkan kerajaan Pas Kelantan menjual lebih 4,000 hektar tanah di kawasan tersebut kepada dua pemimpin DAP Perak.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun dilaporkan tidak mengakui kegagalan kerajaan negeri menuruskan tanah di situ, malah menuduh kebanyakan peneroka yang memohon tanah di kawasan itu tidak menggunakan saluran betul sebaliknya berurusan melalui sindiket. - UTUSAN
Chua Jui Meng bakal kembali ke pangkuan MCA?

Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: "Kehilangan" Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Dr. Chua Jui Meng sejak hampir sebulan lalu mencetuskan spekulasi bahawa dia bakal kembali ke pangkuan MCA dan Barisan Nasional (BN).

Jui Meng yang dilaporkan merajuk selepas hasratnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah tidak mendapat restu pucuk pimpinan partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malahan kelibat beliau tidak kelihatan ketika veteran DAP, Lim Guan Eng diumumkan sebagai calon pakatan pembangkang bagi Parlimen Gelang Patah dan sehingga kini bekas Menteri Kesihatan itu terus "menghilang".

Ekoran kehilangan Jui Meng, beberapa sumber memberitahu beliau berkemungkinan akan menyertai semula MCA dan kembali memberi sokongan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Spekulasi itu turut dilaporkan beberapa blog hari ini antaranya blog MyMassa (mymassa.blogspot.com) yang mendakwa tugas Jui Meng kini dipangku oleh Dr. Ahmad Faidhi Saidi.

Blog itu berkata, kehilangan Jui Meng telah disahkan oleh Timbalan Setiausaha PKR Johor, Steven Choong dan beliau dilaporkan sedang bercuti.

"Apa yang menghairankan ialah cuti Jui Meng sudah menghampiri sebulan. Kekecewaan Jui Meng disebabkan kerusi Parlimen Gelang Patah yang diidamkan telah diberikan kepada Lim Kit Siang tanpa mempedulikan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR Johor.

"Kekecewaan dan kemarahan Jui Meng semakin parah apabila desas-desus mengaitkan beliau kembali rapat kepada pasukan MCA," kata blog tersebut.

Utusan Online masih berusaha untuk mendapatkan pengesahan Jui Meng berhubung hal tersebut tetapi sehingga kini beliau masih gagal dihubungi. - UTUSAN
"DAP guna bendera Pas, satu kejayaan bagi saya" - Nik Aziz

PASIR PUTEH, sabtu, 30 Mac, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan hasrat DAP mahu menggunakan lambang bulan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai satu kejayaan beliau mendidik pemimpin pembangkang tersebut.

Malah katanya, hasrat terbuka pemimpin DAP itu dianggap sebagai satu kejayaan selepas mereka melihat Pas mentadbir negeri Kelantan selama 23 tahun.

"Dulu Cina takut, usahkan Cina, Melayu UMNO pun takut, sekarang ini alhamdulillah DAP terima 23 tahun kita perintah Kelantan.

"DAP tengok benda yang Pas buat ini betul, sampai dia sanggup guna lambang bulan untuk bertanding pilihan raya sekiranya diharamkan, ini satu kejayaan besar bagi saya," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Merbau, Selising di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di dalam akaun twitternya baru-baru berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran DAP. - UTUSAN
ESSZONE berupaya lonjak ekonomi Sabah: Musa Aman

KOTA KINABALU, SABTU, 30 Mac, 2013: Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) berupaya menjadi enjin pertumbuhan dan melonjakkan ekonomi Sabah ke tahap lebih tinggi, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, ESSZONE juga akan memantapkan kestabilan di kawasan timur Sabah, Laut Sulu dan negara anggota Kawasan Pertumbuhan Asean Timur (BIMP-EAGA) iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

"Pewujudan ESSZONE sudah tentu akan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan timur Sabah dengan sebaik-baiknya.

"Ini sekali gus akan berupaya meningkatkan keyakinan pelancong dan pelabur luar untuk berkunjung dan menjalankan aktiviti ekonomi di Sabah," katanya pada program Yayasan Sabah Bersama Rakyat di Putatan dekat sini, hari ini.

Musa turut meminta rakyat supaya tidak putus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan pasukan keselamatan negara yang sedang menjalankan Operasi Daulat di Lahad Datu bagi mencari dan menangkap saki baki pengganas Sulu yang menceroboh pantai timur Sabah sejak lebih sebulan lalu.

"Rakyat di semua peringkat perlu terus bersatu-padu, bermuafakat dan bekerjasama dengan kerajaan dan anggota pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan keselamatan kita terus dipelihara.

"Ini bukan soal politik. Ini soal kedaulatan dan keselamatan negara dan rakyat. Ia tanggungjawab semua dan bukan hanya anggota pasukan keselamatan semata-mata," katanya. 

Musa turut kesal dengan tindakan parti pembangkang memperlekehkan anggota keselamatan yang sanggup berkorban nyawa bagi memastikan keamanan dan keselamatan rakyat di Lahad Datu.

"Sedang kita berhadapan dengan anasir luar, ada pula anasir dalam kalangan kita.

"Rakyat sekarang boleh menilai mana yang baik, sama ada yang baik itu Barisan Nasional (BN) atau pembangkang," katanya. - BERNAMA
MTDC, Akademi Mesir akan tandatangan MoU komersial penyelidikan

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) akan menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Teknologi dan Penyelidikan Saintifik (ASRT) Mesir.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, yang akan mengetuai satu perwakilan Malaysia yang terdiri daripada 27 anggota ke Mesir, berkata MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pengkomersialan hasil penyelidikan.

"Ekoran daripada MoU MTDC-ASRT itu, kita akan menggalakkan MoU antara syarikat-syarikat Malaysia dan Mesir," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di sini.

Perwakilan itu akan berada di Kaherah dari 31 Mac hingga 4 April bagi upacara menandatangani MoU itu serta lawatan ke syarikat-syarikat Mesir yang terbabit.

Beliau berkata, MoU antara MTDC dan ASRT itu juga akan membolehkan syarikat-syarikat Malaysia memasuki Mesir dan menjadikan Kaherah gerbang laluan ke pasaran Timur Tengah.

"Tujuan jangka panjang MoU itu ialah mengkaji kemungkinan mewujudkan kerjasama antara Malaysia dan Mesir dalam penyelidikan pengkomersialan teknikal yang akhirnya akan mendorong pewujudan ekosistem yang lengkap dan berfungsi bagi pemindahan teknologi, pengkomersialan dan perniagaan yang mudah diceburi oleh syarikat-syarikat teknologi di Malaysia dan Mesir," katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu akan mewujudkan pasaran dan perkumpulan ekonomi baharu melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala antara firma-firma teknologi negara-negara yang bekerjasama. 

"Syarikat-syarikat Malaysia haruslah mengambil peluang ini untuk memperluaskan pasaran dengan mengadakan operasi di luar Malaysia, dan Kaherah akan menjadi pintu masuk ke Timur Tengah, Afrika Utara dan sebahagian daripada Selatan Eropah," katanya.

Norhalim berkata, kerjasama itu akan meningkatkan kapasiti agensi-agensi yang bekerjasama untuk melaksanakan dan menguruskan program-program pembangunan dan pengkomersialan teknologi.

"Ia bukanlah hanya hubungan perniagaan dengan perniagaan biasa, MoU ini melibatkan kandungan teknologi dan perniagaan teknologi dengan sedikit penekanan kepada teknologi dan untuk memperkukuh kerjasama antara institusi-institusi Malaysia dan Mesir," tegas beliau.

MTDC, sebuah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional, ditubuhkan pada 1992 dan telah menjadi peserta utama dalam pengurusan dana kerajaan, penggalakan dan pengkomersialan reka cipta tempatan serta pemerolehan teknologi asing.

ASRT, yang ditubuhkan dengan Perintah Presiden pada 1971, ialah sebuah badan yang bertanggungjawab bagi sains dan teknologi Mesir, dengan keanggotaannya terdiri daripada wakil-wakil universiti, pusat penyelidikan, institut dan sektor-sektor pengeluaran.

Selain daripada pertukaran dokumen antara MTDC dan ASRT, empat MoU akan juga ditandatangani antara empat syarikat Malaysia dan 10 syarikat Mesir.

Keempat-empat syarikat Malaysia itu, iaitu Malaysian Phosphate Additives Sdn Bhd, MIFF Marketing Sdn Bhd, OrchidLife Sdn Bhd dan Euro-Circuit Sdn Bhd, menerima pembiayaan MTDC. - BERNAMA
Pihak keselamatan pantau cubaan cetus huru-hara ketika PRU: Hisham

KOTA KINABALU, SABTU, 30 Mac, 2013: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pihak keselamatan sedang memantau dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan huru-hara semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Sambil menekankan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan ketegangan, katanya beliau sudah berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berhubung perkara itu.

"Malah ketua polis negeri sudah dipanggil untuk memastikan ia (sekiranya huru-hara berlaku) dapat ditangani dengan baik.

"Apa yang penting ialah kita membuat persediaan rapi bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Beliau dalam rangka lawatan dua hari ke pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas pendedahan yang dibuat
Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Datuk Adiwijaya Abdullah berhubung perkara itu di Kuala Lumpur semalam.

Adiwijaya dipetik sebagai berkata, bahawa parti pembangkang dikesan cuba mencetuskan suasana huru-hara ketika pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dengan tersebarnya risalah mengandungi cara untuk mewujudkan ketegangan di pusat mengundi di kawasan tertentu.

Menurut risalah itu, sasaran kekecohan ialah di kawasan Parlimen Gombak, Lembah Pantai, Permatang Pauh, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bagan Serai, Bukit Katil, Muar, Pandan dan Sabak Bernam.

Adiwijaya juga dipetik sebagai berkata, bahawa risalah itu didakwa menyebut saranan mewujudkan kekecohan di pusat mengundi dan mewujudkan twitter khas memperlekehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hishammuddin berkata, pemantauan itu bukan hanya ditumpukan ke 10 kawasan Parlimen tersebut tetapi dibuat di seluruh negara.

"Kita mahu menentukan pilihan raya yang adil dan bebas di negara kita. Kita tidak mahu ada pihak yang cuba menimbulkan huru-hara. Kita mesti pertahankan sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan akan timbul masalah semasa pilihan raya umum, khususnya di Sabah berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Hishammuddin berkata pencerobohan itu tidak akan menjejaskan perjalanan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

"Memanglah pada peringkat awal ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan khabar angin yang sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan rakyat Sabah namun keadaan bertambah baik," katanya.

Hishammuddin berkata, secara keseluruhannya keadaan di Sabah adalah tenang, selamat dan terkawal. - BERNAMA
Pelaburan asing berbilion ringgit menunggu saat untuk masuk: Mukhriz

JERLUN, SABTU, 30 Mac, 2013: Pelabur asing dijangka membuat pelaburan berbilion ringgit sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mereka kini menunggu masa yang sesuai untuk membawa masuk pelaburan ke negara ini, kata beliau.

Pelabur asing berkenaan mahu melabur di Malaysia tetapi terpaksa mengambil 'sikap tunggu dan lihat' kerana hendak melihat keputusan pilihan raya selain tidak yakin dengan pakatan pembangkang, katanya.

"Sikap tidak mesra pelabur dan gagal mengumumkan dasar serta perbelanjaan fiskal menyebabkan pelabur asing mengambil sikap tunggu dan lihat," kata Mukhriz kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyaksi penyerahan perjanjian kolaborasi antara Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim (POLIMAS).

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun menganggar pelaburan yang menunggu untuk dibawa masuk mencecah berbilion ringgit.

Beliau berkata, pelabur asing berkenaan masih tidak yakin untuk melabur kerana tidak pasti sama ada pakatan pembangkang akan meneruskan dasar-dasar BN sekiranya mereka memenangi pilihan raya. 

"Kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanazlah bahawa hutang negara akan meningkat mendadak dengan rancangan belanjawan pakatan pembangkang turut membimbangkan pelabur," kata Mukhriz.

Mengenai bidang automotif, beliau berkata Malaysia berpotensi menjadi pusat pengembangan automotif bagi rantau Asia kerana dasar-dasar yang diperkenalkan menepati keperluan dalam industri itu.

Katanya, sebanyak 30,000 kekosongan jawatan juruteknik mahir dan separa mahir perlu diisi dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 180,000 menjelang 2020.

Beliau berkata, program MIA dengan ILP dan Polimas memberi ruang untuk golongan muda mendapat kemahiran dan diserap mengisi kekosongan tersebut akan membantu negara mengatasi masalah tenaga mahir dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. - BERNAMA
BN Sarawak akur dengan keputusan PM berhubung senarai calon

KUCHING, SABTU, 30 Mac, 013: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan akur dengan keputusan Perdana Menteri dan Pengerusi BN pusat, Datuk Seri Najib Razak berhubung senarai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata, senarai calon dari empat parti komponen BN Sarawak yang diserahkan dipertimbangkan daripada semua aspek bagi memastikan mempunyai peluang terbaik untuk menang.

"Kami serahkan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan muktamad dan akan akur dengannya," katanya di sini apabila diminta mengulas pertemuan antara Najib dan beberapa pengerusi BN dan jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, termasuk Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Putrajaya semalam.

Dr Rundi, yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, dengan sokongan 100 peratus, setiap ahli parti gabungan BN negeri harus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi untuk memastikan kemenangan BN di semua 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sama ada senarai calon yang sedang dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan BN itu akan turut mengambil kira pertukaran di saat-saat akhir di kawasan tertentu membabitkan penyandang yang dikatakan semakin kurang popular di kalangan pengundi.

Berikutan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011, 31 kawasan Parlimen yang dipertaruhkan akan menyaksikan PBB bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (empat).

Pada pilihan raya Parlimen pada 2008, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi tetapi hilang satu lagi kerusi kepada parti pembangkang DAP dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010.
 
Sementara itu, Dr Rundi, yang mempengerusikan mesyuarat parti komponen BN negeri dan setiausaha politik Ketua Menteri di ibu pejabat PBB di sini semalam, berkata mesyuarat itu bagi memperhalusi strategi dan persediaan menghadapi pilihan raya yang sedang berjalan dengan lancar.

Dalam memperkukuhkan jentera pilihan raya, Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu berkata PBB juga bertanggungjawab membantu tiga lagi parti komponen BN negeri dalam menghadapi pilihan raya.

Dalam menggerakkan jentera pilihan raya, beliau berkata BN negeri tidak boleh alpa dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA
Filipina puas hati dengan layanan tahanan SOSMA: Hishammuddin

TAWAU, SABTU, 30 Mac, 2013: Kedutaan Filipina di Malaysia berpuas hati dengan layanan terhadap rakyatnya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dinyatakan wakil kedutaan berkenaan yang melawat lapan pengganas Sulu yang kini ditahan di Penjara Tawau di sini.

Wakil Kedutaan Filipina menemui kesemua tahanan terbabit di Penjara Tawau pada 27 Mac lalu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, Malaysia memberi ruang seluas-luasnya kepada wakil kedutaan untuk berjumpa tahanan terbabit.

Jika ada pihak yang sangsi dengan layanan pihak penjara, mereka boleh merujuk terus kepada Penjara Tawau atau Kedutaan Filipina, bukan merujuk laporan media sosial, katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, beliau juga dimaklumkan kedutaan itu akan menguruskan soal pelantikan peguam untuk lapan tahanan berkenaan yang berhadapan tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Mengenai keupayaan SOSMA dalam mengendalikan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna itu, Hishammuddin berkata, setakat ini pelaksanaan peraturan-peraturan di bawah SOSMA berjaya membendung insiden tersebut. 

"Dulu orang kata dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kita tak ada kuasa. Tetapi kita tahu bahawa pemansuhan ini diganti dengan akta baru iaitu SOSMA. Di bawah akta baru ini bukan saja mencukupi mengimbangi hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi mengimbangi kepentingan nasional dan keselamatan nasional. Dalam kes ini keselamatan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Hishammuddin juga berkata, penjara Sabah dengan 1,085 pegawai dan anggota mampu mengawal populasi penjara atau banduan di negeri itu yang kini berjumlah 4,530 orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, Bahagian Keselamatan Dalam Negeri sudah membuka bilik gerakan di Kota Kinabalu bagi menerima dan menyalur maklumat tepat kepada orang awam berkenaan perkembangan semasa insiden pencerobohan itu. 

Katanya anggota masyarakat boleh berhubung terus dengan bilik gerakan itu melalui talian 088-488850. - BERNAMA
LIMA ketiga terbesar selepas pertunjukan udara Farnborough, Paris

LANGKAWI, SABTU, 30 Mac, 2013: Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2013 kini diiktiraf sebagai pameran pertahanan yang ketiga terbesar di dunia, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, LIMA 2013 kini di tempat ketiga selepas Pertunjukan Udara Farnborough di United Kingdom dan Pertunjukan Udara Paris di Lapangan Terbang Le Bourget.

Ahmad Zahid juga meminta pihak yang memperkecil LIMA dengan dakwaan kononnya pameran itu semakin tidak mendapat sambutan serta jumlah aset pertahanan seperti kapal terbang dan kapal perang yang hadir semakin kurang, supaya datang sendiri ke pameran berkenaan pada masa akan datang.

"LIMA kita unik pasal di tempat lain mereka pisahkan pameran udara dan maritim, tetapi di sini, kita gabungkan aeroangkasa dan maritim sekali, ini adalah kejayaan yang cukup besar negara kita," katanya pada majlis penutup LIMA 2013.

Pameran LIMA, antara lain, menghimpunkan pembuat keputusan pertahanan dan perdagangan serta pemain utama industri pertahanan.

Ahmad Zahid berkata, matlamat LIMA 2013 sudah tercapai dan pameran itu mencatat kehadiran lebih 40,000 pelawat profesional serta pedagang selain menarik 632 petugas media iaitu 337 tempatan dan 295 antarabangsa.

Jumlah pengunjung, termasuk penduduk tempatan dan pelancong, yang menghadiri LIMA ialah 180,000 orang. 

Pertunjukan Udara Farnborough tahun lalu menarik 100,000 pelawat profesional dan pedagang serta 109,000 pengunjung tempatan.

Beliau mengakui ruang dalaman Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri kini agak sempit dan perlu diperluas bagi menampung jumlah pempamer yang semakin bertambah sehingga menyaksikan perasmian LIMA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin terpaksa dilakukan di tarmac.

"Pusat ini akan dinaik taraf sepenuhnya kelak dan kerajaan telah membelanjakan RM25 juta untuk kerja naik taraf serta meningkatkan kemudahannya dalam fasa pertama tahun ini", katanya. - BERNAMA

BN Kelantan tonjol calon mantap

KOTA BAHARU, SABTU, 30 Mac, 2013: Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menonjolkan barisan calon mantap dan diterima rakyat pada pilihan raya umum kali ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, senarai calon yang kini di peringkat akhir saringan memuatkan muka baharu dan lama selain tokoh ulama yang mampu membawa kemenangan kepada BN Kelantan.

"Kita buat yang terbaik, apa juga barisan calon yang kita tonjolkan tentu ada pihak yang mempertikai. Namun bagi saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kita akan memastikan inilah barisan terbaik dalam kalangan tokoh-tokoh yang ada di Kelantan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini. - BERNAMA
CUEPACS seru penjawat awam keluar mengundi

KUALA TERENGGANU, SABTU, 30 Mac, 2013: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru agar seluruh anggota perkhidmatan awam keluar membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, pihaknya ingin melihat peningkatan dalam jumlah pengundi yang keluar membuang undi berbanding pada PRU lima tahun lalu.

“Pada tahun 2008, jumlah penjawat awam yang keluar mengundi hanya sekitar 70 peratus sahaja dan kita nak jumlah itu lebih baik pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah berhubung isu-isu terkini sempena program `Dari Semporna ke Lahad Datu' di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. - KOSMO!
Rais sifatkan pembangkang angkuh tolak peluang ke udara di RTM

SHAH ALAM, SABTU, 30 Mac, 2013: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan pakatan pembangkang angkuh apabila menolak tawaran kerajaan untuk mereka membentang manifesto pilihan raya umum di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Sikap angkuh pembangkang itu sudah terdaftar dalam pemikiran rakyat Malaysia. Biasanya apabila orang berbudi kita berbahasa, tetapi bagi pembangkang, mereka berkata kami tidak mahu, kami tolak, alasan-alasan yang diberi tidak cukup,” katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Kerja Pos Malaysia Berhad bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pada 22 Mac lepas, beliau menawarkan semua parti politik membentang manifesto masing-masing menerusi RTM selama 10 minit.

Bagaimanapun, pada 25 Mac lepas, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolak tawaran itu dan Parti Keadilan Rakyat serta PAS dilapor turut mengambil tindakan sama.- BERNAMA
5,000 warga Filipina larikan diri

 *GAMBAR yang dirakam pada 8 Mac lalu menunjukkan sekumpulan warga Filipina menunggu barang masing-masing selepas tiba di bandar Jolo, wilayah Sulu, selatan pulau Mindanao, Filipina. Mereka melarikan diri dari Sabah berikutan pertempuran yang tercetus di antara pengganas Sulu dan pihak berkuasa Malaysia.

MANILA, SABTU, 30 Mac, 2013: Hampir 5,000 warga Filipina telah melarikan diri dari Sabah sejak pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan ke atas pengganas Sulu yang diketuai oleh Jamalul Kiram III, jelas Lembaga Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina semalam.

Agensi itu menyatakan telah merekod ketibaan 4,983 individu dewasa dan kanak-kanak di gugusan kepulauan selatan negara tersebut.

Pengarah eksekutif yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelarian itu, Paslur Abdullah memberitahu jumlah keseluruhan mungkin jauh lebih tinggi kerana ada yang tidak mendaftar.

"Mereka tiba dengan menaiki bot-bot kecil. Kebanyakannya masuk ke sini tanpa mendaftar dan tinggal bersama saudara-mara masing-masing. Kami tidak boleh menahan mereka," kata Abdullah.

Kira-kira 200 orang pengikut Kiram dengan sebahagian daripada mereka bersenjata tiba di Lahad Datu, Sabah pada Februari untuk menuntut Sabah daripada kerajaan Malaysia.

Pertempuran di antara kedua-dua belah pihak telah mengakibatkan lebih 60 pengganas dan sepuluh anggota keselamatan Malaysia terkorban.

Sebelum ini, Presiden Filipina, Benigno Aquino menyatakan kebimbangan ketegangan itu boleh menjejaskan ratusan ribu warga Filipina yang bekerja di Sabah. - AFP/KOSMO
Sanggup hina Nabi untuk kepentingan politik

 *DIPETIK dari akaun Twitter @fahmipkg milik Khairul Fahmi Mat Som.

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Pemimpin Pemuda Pas dilihat tidak mencerminkan akhlak mulia apabila dengan sewenang-wenangnya mempermainkan nama Nabi Muhammad SAW demi kepentingan politik parti itu.

Penasihat Agama, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berpendapat, seorang pemimpin Islam tidak akan bercakap mengikut perasaan.

"Jangan kerana kepentingan peribadi dan politik, maka Islam juga terheret sama ke tempat yang tidak sewajarnya sehingga menyentuh keperibadian Rasullullah.

"Kita semua tahu Rasullullah merupakan contoh tauladan yang cukup tinggi dan tindakan membandingkan baginda yang maksum daripada dosa dengan manusia bukanlah tindakan orang yang soleh tetapi orang yang fasik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pemimpin Dewan Pemuda Pas Pusat yang bertindak biadab dengan membuat kenyataan mengaitkan video seks, Nabi Muhammad SAW dan UMNO menerusi laman Twitternya Rabu lalu.

Dalam kenyataan pada pukul 11.58 pagi itu, pemimpin tersebut, Penolong Setiausaha 1 Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi akaun Twitter@fahmipkg menyebut: "Kalau Nabi Muhammad SAW masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan... jahanam UMNO."

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang memperjuangkan agama Islam dan perbuatan tersebut patut dikecam.

"Bagaimana mereka boleh sesuka hati mengandaikan perbuatan baginda Rasullullah yang telah wafat? Tindakan itu sangat biadab kerana boleh menjatuhkan darjat suci Rasullullah.

"Tindakan tersebut juga merupakan satu penghinaan kepada Nabi kita. Inilah hasilnya jika tunduk dan bersekongkol dengan kafir harbi hingga tersasar jauh dari hala tujuan asal untuk memperjuangkan Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan tersebut memperlihatkan tahap mentaliti Khairul Fahmi yang rendah ketika menulis di dalam laman sosial tersebut. - UTUSAN
Perlu jelas dakwaan 300 perwakilan haram

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digesa memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat lebih 300 perwakilan haram daripada 1,823 orang yang hadir semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari menegaskan, Guan Eng perlu menjawab soalan tersebut dan tidak menyalahkan UMNO dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya didapati dakwaan itu benar.

"Jika ROS menemui lebih 300 perwakilan yang tidak sah nanti, jangan salahkan sesiapa kerana bukan UMNO atau ROS yang mengeluarkan notis mesyuarat pemilihan DAP.

"Saya tidak buat apa-apa tuduhan di sini tetapi saya hanya minta Guan Eng buat penjelasan dan penafian secara terbuka jika apa yang saya katakan ini tidak benar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Keputusan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012 itu menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik Guan Eng, Zairil Khir Johari sebagai salah seorang anggota CEC.

Insiden itu membawa kepada peletakan jawatan Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong selain beberapa ahli parti bertindak membuat aduan kepada ROS berikutan kebimbangan mereka terdapat unsur manipulasi dalam keputusan itu.

Sementara itu, Anuar juga menggesa ROS untuk menyiasat segera dakwaan tersebut dengan mencari 300 perwakilan tidak sah berkenaan.

"Sekiranya dakwaan itu benar, ROS perlu mengenal pasti segera siapakah orang tersebut dan bagaimana mereka boleh hadir pada pemilihan itu.

"ROS perlu menemuduga mereka satu persatu dengan kadar segera bagi memastikan segala kebenaran dapat didedahkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah walaupun mempunyai kerusi selamat di Perak dan Pulau Pinang.

Anuar juga menimbulkan persoalan tentang dakwaan kononnya DAP mahu bertanding di Gelang Patah kerana ada kaitan dengan seorang wanita bernama Mummy Foo.

"Adakah benar Mummy Foo dilahirkan di Gelang Patah dan menjadi punca utama DAP mahu menawan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya. - UTUSAN 
Dedah identiti mangsa liwat

Oleh AZMAN IBRAHIM
KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Bekas pembantu peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay berjanji akan mendedahkan identiti pemuda yang disyaki turut menjadi mangsa liwat kepada seorang pemimpin pembangkang.

Beliau berkata, pemuda berkenaan sepatutnya menjadi saksi kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, namun menarik diri pada saat-saat akhir.

Pemuda berusia 20-an itu pernah berada dalam satu penjara dengan pemimpin pembangkang tersebut di Penjara Sungai Buloh.

"Pemuda itu mengaku kepada saya, dia serik dan tidak mahu berjumpa dengan pemimpin itu lagi.

"Dia kelihatan gelisah ketika berbual mengenai pemimpin itu. Dia kata, dia sudah tidak larat untuk bercakap mengenainya," dakwa Yuktes.

Beliau membuat pendedahan tersebut kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sikap ditunjukkan oleh pemuda itu kata Yuktes, menyebabkannya mengesyaki pemuda tersebut mungkin menjadi mangsa liwat seperti apa yang dialami Mohd. Saiful Bukhari.

Kata Yuktes, beliau akan membuat pendedahan tersebut sekiranya pemimpin pembangkang terbabit terus berbohong kepada rakyat.

"Saya mengenali dan mengetahui identiti pemuda itu kerana dia merupakan salah seorang saksi," ujarnya. - UTUSAN

Saturday 30 March 2013

PRU-13: BN Kelantan bakal bariskan calon terbaik

KOTA BHARU, SABTU, 30 Mac, 2013: Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengemukakan barisan calon terbaik yang diyakini diterima oleh rakyat bagi memastikan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, senarai calon itu yang dibarisi gabungan muka lama dan baharu merupakan barisan terbaik dalam kalangan tokoh yang ada di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi 2013 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini. - UTUSAN
Wanita BN tubuh pasukan khas jamin keamanan, keselamatan PRU-13

 *SHAHRIZAT Abdul Jalil (lima kanan) beramah mesra dengan para penerima baucar Karisma @Hati Rakyat selepas merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik, di Dewan Seberguna Perumahan PDRM Desa Tasik, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR, SABTU, 30 Mac, 2013: Pergerakan Wanita UMNO akan menubuhkan pasukan khas bagi menjamin keamanan dan keselamatan orng ramai sekali gus menangkis strategi kotor pihak yang cuba mencetuskan suasana huru-hara semasa Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, penubuhan pasukan itu penting bagi memastikan hak mengundi rakyat tidak dicuri oleh parti pembangkang yang ketika ini didakwa begitu licik merancang pelbagai angkara untuk mewujudkan ketegangan di pusat-pusat mengundi di kawasan tertentu.

"Saya beri amaran awal kepada pembangkang bahawa Wanita akan menjadi benteng dalam memastikan keamanan dan kemakmuran rakyat serta negara sentiasa terjamin pada hari mengundi nanti," katanya.

Shahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata demikian ketika menghadiri majlis YKN bersama warga Polis Diraja Malaysia Desa Tasik di sini hari ini. - UTUSAN
Chang Yeow sedia tanding tentang Guan Eng pada PRU-13

GEORGE TOWN, SABTU, 30 Mac, 2013: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow hari ini menyatakan kesediaan bertanding satu lawan satu dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau bagaimanapun menetapkan syarat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja sebagai tanda memberi sepenuh komitmen kepada rakyat di negeri ini.

"Ini demi masa depan Pulau Pinang... pemimpin perlu tunjuk komitmen penuh untuk melaksanakan dasar-dasar demi rakyat Pulau Pinang. Oleh itu Lim Guan Eng perlu tunjukkan komitmen dengan hanya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Khamis lepas, Ketua Menteri mencabar Chang Yeow bertanding di kerusi DUN Padang Kota, iaitu kawasan yang pernah dimenangi Chang Yeow tiga penggal berturut-turut sebelum kalah kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow pada PRU-12.

Beliau yang berterima kasih dengan cabaran Ketua Menteri itu berkata, Guang Eng lebih popular berbanding dirinya dan tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana 40 kerusi DUN di negeri ini.

Chang Yeow yang juga Setiausaha Agung Gerakan berkata, adalah adil jika pada pertarungan kali ini BN menentukan terma dan syaratnya berikutan dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, DAP telah mencabar pemimpin Gerakan di kawasan yang ditentukan parti itu.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum 1986, penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mencabar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bertanding di Parlimen Tanjong, diikuti pada tahun 1990 Kit Siang mencabar mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu bertanding di DUN Padang Kota.

Pada tahun 1999, Kit Siang yang bertanding di dua kerusi mencabar bekas Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan di DUN Kebun Bunga, katanya.

Menyifatkan PRU-13 adalah perjuangan dasar dan bukannya pertarungan personaliti, Chang Yeow menjanjikan transformasi ekonomi secara menyeluruh kepada Pulau Pinang jika rakyat memberi peluang kepada BN mentadbir negeri ini.

Mengenai senarai calon BN bagi 13 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN di Pulau Pinang, beliau berkata senarai akhir calon telah 95 peratus selesai. - BERNAMA
Senarai calon PRU-13 BN Kedah belum muktamad - Mukhriz

JERLUN, SABTU, 30 Mac, 2013: Calon Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum akan datang belum dimuktamad namun mereka yang boleh menang sahaja yang akan dipilih, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu melihat pandangan beberapa pihak lain sebelum memuktamad senarai calon walaupun keutamaan adalah senarai yang dikemukakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, beliau meletakkan calon mesti boleh menang sebagai kriteria utama untuk dipilih," kata Mukhriz kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyaksikan penyerahan perjanjian kolaborasi antara Malaysia Automotive Institute dengan Institut Latihan Perindustrian Jitra dan Politeknik Sultan Abdul Halim.

Beliau berkata, perbincangan dengan Najib turut menyentuh usaha menawan kawasan kuat pembangkang.

Katanya, calon yang bakal ditampilkan kali ini melalui proses tapisan ketat termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dari segi kesihatan.

Terdapat keseimbangan antara calon lama dan baru yang pertama kali dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, tambahnya.

Mengenai komen Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi berpengaruh kerana kerap turun berjumpa rakyat, Mukhriz berkata, beliau tidak perlu risau dengan komen itu yang membawa maksud Azizan berasa tergugat dengan keadaan demikian. - BERNAMA
Pak Lah yakin keupayaan BN menang besar PRU-13

KEPALA BATAS, SABTU, 30 Mac, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, ini berikutan BN telah berusaha keras membawa perubahan besar kepada negara dan rakyat menerusi pelbagai perancangan dan program transformasi.

"Nak kerajaan yang kuat perlu menang dua pertiga kerusi Parlimen dan saya yakin BN boleh dapat kerana mereka telah bekerja keras.

"Saya harap mereka (rakyat) akan terus bagi sokongan (kepada BN) supaya segala program transformasi dan perancangan dapat diteruskan pada masa hadapan. Itu semua adalah untuk rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni KD Sri Pinang bersama masyarakat Permatang Sintok di sini hari ini.

Pada program sehari itu, seramai 75 anggota pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia bersama penduduk kampung membaiki rumah orang miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU), menjalankan kerja gotong royong dan aktiviti membersih rumah di kawasan itu.

Mengenai pembubaran Parlimen, beliau berkata, ia bukan satu isu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai jangka masa tertentu untuk berbuat demikian. - BERNAMA
Michelle Yeoh mahu terus aktif dalam dunia hiburan

*MICHELLE Yeoh ketika bergambar di karpet merah pada
AnugerahFilem Asia ke-7, minggu lalu. - Foto AFP

KUCHING, SABTU, 30 Mac, 2013: Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia, Datuk Seri Michelle Yeoh berkata beliau mahu terus aktif dalam industri hiburan kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang itu.

Beliau secara berjenaka berkata dengan pelbagai kejayaan yang sudah dicapainya dalam industri, ia bukan petanda untuk beliau bersara.

"Saya memperoleh banyak kejayaan seumur hidup, saya harap ia bukan berupa mesej 'untuk pulang sekarang', tetapi saya mengambilnya sebagai insentif untuk melakukan lebih baik. Saya mencapainya dan akan cuba untuk mencapai lebih lagi," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berada di sini sempena Anugerah Festival Filem Antarabangsa dan Asean 2013 (AIFFA) selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Yeoh dilahirkan pada 6 Ogos di Ipoh. Beliau mula terkenal apabila melakukan aksi ngeri sendiri dalam filem-filem aksi Hong Kong pada awal 1990-an.

Beliau terus menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem James Bond bertajuk Tomorrow Never Dies.

Beliau terus mendapat penghormatan apabila dipilih memegang watak pemimpin prodemokrasi Burma, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady.

Mengenai filem terbarunya, Yeoh berkata ia diarahkan pengarah kelahiran Korea-Amerika, Gina Kim yang kini pada peringkat post produksi yang beliau harap dapat ditayangkan musim panas ini.

Beliau juga berkata beliau akan melancarkan program pencarian bakat baru bagi mencari bintang Asia.

"Kami dalam proses merancangnya, apabila kami bersedia kami akan mengumumkannya," katanya. - BERNAMA


Kanak-kanak antara tiga lemas di Pantai Chendering

KUALA TERENGGANU, SABTU, 30 Mac, 2013: Tiga dari satu keluarga mati lemas di Pantai Chendering di sini semalam ketika keluarga berkenaan serta sanak saudara berkelah di kawasan pantai.

Insiden pada kira-kira 6.30 petang itu meragut nyawa Adam Daniel Mohd Hafiz, 7; bapanya Mohd Hafiz Harun, 32; dan bapa saudaranya Saifuddin Harun, 46.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Adam Daniel dilaporkan lemas ketika sedang mandi di pantai berkenaan sebelum bapa dan bapa saudaranya itu cuba menyelamatkan mangsa namun usaha itu gagal dan mereka turut mengalami kesulitan di air.

Berikutan itu, dua lagi saudara dari keluarga berkenaan Burhanuddin Helmi Harun, 43, dan Idzham Tayib, 41, turut serta membantu bagaimanapun gagal menyelamatkan mangsa-mangsa itu.

Burhanuddin dan Idzham Tayib kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Orang awam yang melihat kejadian itu menghubungi bomba dan sebuah jentera enam anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dari
kawasan pantai.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohd Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke HSNZ untuk bedah siasat. - BERNAMA