My Add

Thursday 19 June 2014

1,000 jemaah haji tajaan 1MDB

PUTRAJAYA, RABU 18 Jun, 2014: Sebanyak 1,000 jemaah terdiri daripada imam, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk dua Tok Batin serta lapan guru pondok akan menunaikan fardu haji di Tanah Suci tahun ini di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Melibatkan kos hampir RM10 juta, kesemua jemaah berkenaan akan menunaikan rukun Islam kelima itu secara percuma apabila kos haji sebanyak RM9,980 setiap orang ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan 1MDB.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain menanggung kos menunaikan ibadat haji, mereka juga diberikan wang saku RM1,000 setiap seorang bagi kemudahan sepanjang tempoh menunaikan ibadat di sana.

"Sedar tidak sedar sejak program ini dilancarkan pada 2011, alhamdulillah jumlah jemaah yang telah dihantar mencecah 2,311 orang terdiri daripada para imam dan pengerusi JKKK.

"Bermula dengan 111 jemaah pada 2011, dinaikkan kepada 400 orang pada tahun berikutnya dan 800 orang tahun lalu dan pada tahun ini kita dapat menghantar 1,000 jemaah untuk menunaikan haji," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1MDB di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd. Hazem Abd. Rahman.

Perdana Menteri berkata, selain pembiayaan penuh serta wang saku, mereka juga menerima subsidi khas sebanyak RM6,000 kerana kos sebenar menunaikan ibadat tersebut adalah hampir RM16,000.

"Untuk pengetahuan bakal jemaah sekalian, kos sebenar untuk menunaikan haji hampir RM16,000 seorang dan ini bermakna setiap orang yang pergi ke Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji memberi subsidi khas sebanyak RM6,000," ujarnya.

Beliau berkata, Biro Kebajikan UMNO pula menyumbang kain jubah dan kain pelikat kepada semua jemaah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka yang terpilih menyertai program itu seharusnya bersyukur kerana selain daripada soal pembiayaan, urusan untuk ke Tanah Suci juga melibatkan soal kuota.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan di masjid yang sama, Najib turut melancarkan program Ramadan al-Mubarak peringkat kebangsaan serta pengagihan kurma dan air zam-zam ke masjid-masjid di seluruh negara.

Dalam pada itu, seorang jemaah yang juga Tok Batin Kampung Meranti, Pekan Pahang, Abdul Rani Abdullah, 54, menyifatkan tawaran menunaikan ibadah haji itu sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment