My Add

Thursday 19 June 2014

Kerajaan diminta kaji syarat guna petrol RON95, RON97

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Kerajaan diminta mengkaji kelayakan pengguna kenderaan yang menggunakan minyak petrol RON95 agar subsidi yang disalurkan oleh kerajaan ke atas bahan itu dapat dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Selangor, Omar Saleh berkata, pihaknya mencadangkan supaya RON95 hanya dijual kepada pengguna yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000 sebulan manakala RON97 pula kepada pengguna berpendapatan RM10,000 ke atas.

Menurut beliau, syarat itu dilihat mampu mengurangkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ke atas penjualan RON95.

"Pada tahun lalu kerajaan telah menanggung subsidi berjumlah RM24.8 bilion ke atas RON95, diesel dan gas LPG. Kalau para pengguna yang berpendapatan RM10,000 ke atas disyaratkan menggunakan RON97, kos subsidi ke atas RON95 dapat dijimatkan.

"Selain jumlah pendapatan bulanan, JMM turut mencadangkan agar para pengguna kenderaan yang melebihi 3,000 cc yang dikategorikan sebagai mewah tidak boleh menggunakan RON95, sebaliknya mereka haruslah menggunakan RON97,’’ katanya ketika ditemui di stesen Petronas di Ampang dekat sini hari ini.

Katanya, RON95 dijual dengan harga RM2.10 seliter biarpun harga asalnya adalah RM2.77 seliter kerana kerajaan selama ini telah menanggung subsidi sebanyak 67 sen bagi setiap liter.

Beliau mengemukakan cadangan itu selepas mengadakan tinjauan dan kaji selidik bersama ahli JMM di beberapa stesen minyak di beberapa buah negeri baru-baru ini yang mendapati kebanyakan pengguna kenderaan mewah lebih 2,000 cc menggunakan RON95.

"Kami mencadangkan agar kerajaan mengkaji cadangan ini dan mengadakan perbincangan dengan syarikat stesen minyak di seluruh negara agar mekanisme tertentu dapat dilakukan bagi merealisasikan perkara ini.

"Contohnya, dengan menyediakan laluan khas di setiap pam minyak bagi para pengguna kenderaan melebihi 2,000 cc ataupun dengan cara menunjukkan kad pengenalan atau pasport bagi mengenal pasti status kerakyatan mereka sebelum mengisi minyak," katanya.

Malah beliau mencadangkan agar kerajaan mengadakan kerjasama antara Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya status serta pendapatan para pengguna RON95 dan RON97 dapat dikenal pasti.

Tambah Omar, saranan JMM itu realistik apabila kaji selidik yang mereka jalankan di kebanyakan stesen minyak di seluruh negara mendapati ramai pengguna kenderaan mewah menggunakan RON95.

"JMM mengadakan pemantauan di stesen Petronas di Ampang dari pukul 8 hingga 11 pagi ini. Selama tiga jam kami dapati daripada 120 kenderaan yang menggunakan RON95, lebih 50 peratus adalah pengguna kenderaan mewah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment