My Add

Tuesday, 17 June 2014

230 syor dikemuka dalam laporan audit

*  AMBRIM Buang (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed menunjukkan buku Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 dan Maklum Balas Ke Atas Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2013 di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Sebanyak 230 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, daripada jumlah itu Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada Kerajaan-kerajaan negeri.

"Kelemahan yang dilaporkan kebanyakannya bersabit dengan kecekapan dan akuran penjawat awam kepada peraturan kewangan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau berkata, dalam Laporan Siri 2 itu, sebanyak 57 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan Badan Berkanun Persekutuan.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, program peningkatan sosioekonomi, infrastruktur dan pengurusan syarikat," katanya.

Ambrin berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Setiap tahun, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan prestasi yang bertujuan menilai sejauh mana pelbagai aktiviti dan projek kerajaan telah dirancang, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan serta sejauh mana objektif asal program/aktiviti dan projek itu telah tercapai.

Ia juga bertujuan untuk menilai sejauh mana wang awam telah dibelanjakan dengan berhemat tanpa berlakunya pemborosan dan pembaziran serta mendapat nilai faedah terbaik bagi perbelanjaan yang telah dibuat.

Bagi pengauditan syarikat kerajaan pula, Jabatan Audit Negara membuat penilaian terhadap aspek analisis penyata kewangan, pengurusan aktiviti syarikat dan tadbir urus korporat.

Kandungan dan sinopsis laporan siri 2 itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan atau pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 1 telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment