My Add

Tuesday 17 June 2014

PDRM, ATM tingkat kerjasama

Oleh ABD. AZIZ ITAR
 
 * AHMAD Zahid Hamidi (kiri) bersalaman dengan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Joseph Y. Yun selepas bertemu dalam perjumpaan khas lebih sejam di Hotel Royale Chulan Damansara, semalam.
PETALING JAYA, ISNIN 16 Jun, 2014: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani isu-isu penculikan yang kerap berlaku di Sabah sejak akhir-akhir ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam kejadian terbaharu yang membabitkan dua mangsa culik dikenali sebagai Mazlan, 25, dan Chan Sai Chiun, 32, di Sabah awal pagi ini, beliau sudah berhubung dengan PDRM untuk meningkatkan kerjasama dengan ATM.

"Dalam usaha PDRM menjejaki dua mangsa culik terbabit, kita mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan semua usaha telah dibuat termasuk menjalin kerjasama dengan ATM bagi memastikan penjenayah ini diheret ke muka pengadilan," katanya.

Beliau ditanya pemberita tentang insiden penculikan terbaharu itu pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Duta Besar AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun selama hampir sejam di Mutiara Damansara di sini hari ini.

Dalam kejadian terbaru pukul 12.40 tengah malam tadi, seorang penternak ikan sangkar dan pekerjanya warga Filipina diculik sekumpulan lelaki di Kunak.

Ahmad Zahid dalam sidang akhbar itu turut mengulas mengenai kegiatan militan yang berlaku di Sabah membabitkan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa.

"Mereka ini saki-baki kumpulan militan dan kita akan terus memantau mereka. Pihak keselamatan di Esscom (Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah) telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Tetapi usaha mereka boleh dipertingkatkan lagi yang mana kaedah konvensional dan aset sahaja tidak mencukupi. Kita kena jaringan maklumat membabitkan bahagian perisikan yang harus diperkukuh serta disegerakan fungsinya," katanya.

Malah, beliau berkata kerajaan bukan sahaja memantau kegiatan militan di negara ini tetapi juga melibatkan rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti itu di luar negara seperti yang dilaporkan berlaku di Syria.

"Kita memang ada maklumat tentang rakyat Malaysia yang terbabit dalam kumpulan militan di Syria. Jika betul mereka ini terlibat, kita akan tahan jika mereka pulang ke Malaysia untuk siasatan," tegas beliau.

Dalam pada itu Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan bersedia menerima aset bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) sekiranya wujud tawaran dari negara itu bagi membanteras kegiatan pengganas terutamanya di Sabah.

Bagaimanapun setakat ini kata beliau, kerajaan belum menerima tawaran daripada AS dalam membekalkan aset-aset ketenteraan dari negara itu bagi tujuan itu.

"Kalau AS menawarkan bantuan aset ketenteraan untuk tangani isu pengganas, kita akan terima termasuklah aset seperti bot yang boleh digunakan di sekitar perairan sekitar kawasan Esscom," katanya. UTUSAN 

No comments:

Post a Comment