My Add

Sunday 15 June 2014

49 maut pesawat Ukraine ditembak

 * SEORANG anggota pemisah pro-Rusia berkawal di kawasan pesawat tentera Ukraine yang terhempas selepas ditembak jatuh di lapangan terbang di Luhansk, semalam. - Reuters
KIEV, SABTU 14 Jun, 2014: Sebanyak 49 orang maut apabila kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh sebuah pesawat pengangkut tentera Ukraine di wilayah Luhansk, timur negara ini hari ini, yang dihantar ke wilayah timur negara ini untuk mengawal konflik di sana.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kumpulan pemisah menggunakan mesingan berkaliber tinggi untuk menembak pesawat Ilyushin-76 yang dalam perjalanan ke lapangan terbang Luhansk.

Jelas kementerian tersebut, pesawat yang menggunakan empat enjin itu turut membawa sejumlah peralatan ketenteraan.

“Pesawat terbabit ditembak ketika melakukan pendaratan di lapangan terbang tersebut dan semua krew dan tentera di dalamnya terbunuh," kata kementerian berkenaan.

Serangan terbaharu itu berlaku kira-kira seminggu selepas kumpulan pemisah melancarkan serangan ke atas lapangan terbang yang sama.

Jumlah kematian tersebut juga merupakan yang tertinggi dalam kalangan tentera kerajaan sejak Ukraine melancarkan operasi memburu anggota pemisah di timur Ukraine.

Sejak operasi antikeganasan dilancarkan dua bulan lalu, sekurang-kurangnya 270 orang telah dilaporkan terbunuh termasuk orang awam, askar Ukraine dan anggota kumpulan pemisah.

Luhansk yang terletak di sempadan Rusia, merupakan satu daripada bandar utama yang bergolak akibat gerakan pemisah pro-Moscow yang menuntut kemerdekaan daripada Kremlin. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment