My Add

Sunday 8 June 2014

9.1 juta liter diesel bernilai RM58 juta dirampas

PUTRAJAYA, AHAD 08 Jun, 2014: Sebanyak 12 buah kapal dan 9.1 juta liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM58 juta telah dirampas dan disita sejak Operasi Diesel Selatan (Odis) dilaksanakan di perairan selatan tanah air pada 9 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, aktiviti haram penyeludupan diesel bersubsidi yang sering dilaporkan berlaku di perairan selatan iaitu sekitar perairan Sungai Rengit, Kota Tinggi dan perairan Pasir Gudang.

``Selepas operasi ini dijalankan, jumlah rampasan minyak diesel meningkat berlipat kali ganda dan usaha terus dipergiatkan dengan memberi tumpuan kepada kawasan perindustrian serta sempadan negara,'' katanya dalam sidang media selepas Hari Keluarga KPDNKK di sini hari ini.

Beliau berkata dalam Odis 4 yang dijalankan dari Rabu hingga Jumaat lepas, tiga buah kapal tangki, enam buah lori tangki, sebuah lori satu tan serta 625,410 liter minyak diesel bernilai RM3.2 juta telah dirampas.

Katanya, hasil pemerhatian dan pemantauan, kawasan perairan selatan negara digunakan oleh beberapa sindiket untuk memindahkan minyak yang dikumpul di jeti persendirian melalui kapal-kapal tangki kecil sebelum dipindahkan ke kapal tangki besar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment