My Add

Sunday 8 June 2014

SPAD akan ambil tindakan tegas terhadap pemandu teksi sertai demonstrasi

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan mengambil tindakan tegas terhadap 33 pemandu teksi yang dikenal pasti menyertai demonstrasi Rabu lepas, di Bukit Bintang di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti pemandu teksi lain yang turut menyertai demonstrasi itu sehingga menghalang lalu lintas, meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan serta mengganggu ketenteraman awam.

``SPAD memandang serius sikap pemandu tersebut dan tindakan tegas seperti menggantung kad pemandu atau membatalkan lesen pengendali teksi yang terlibat akan diambil,'' katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau megingatkan semua pemandu teksi dan pengangkutan awam darat supaya tidak menyertai sebarang demonstrasi yang menyalahi undang-undang.

``Demonstrasi yang merupakan kali kedua dilakukan kumpulan teksi Bukit Bintang itu telah menyebabkan trafik di kawasan berkenaan sesak selama tiga jam selepas demonstrasi yang pertama dua tahun lepas,'' katanya.

Rabu lepas, pemandu teksi mengadakan demonstrasi itu kerana dipercayai tidak berpuas hati berhubung isu penguatkuasaan.

Pada 2012, pemandu teksi membuat bantahan terhadap pengenalan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa mengganggu pendapatan mereka terutamanya kekurangan penumpang daripada kalangan pelancong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment