My Add

Friday 13 June 2014

Agihan terus ikut kelayakan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
 
KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Pemberian diesel dan petrol bersubsidi secara terus kepada rakyat mengikut kelayakan adalah langkah terbaik untuk memastikan tidak berlaku ketirisan dan menghalang warga asing daripada turut menerima manfaat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) berkata, langkah tersebut dapat membendung bahan api itu daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan dengan menjualnya di pasaran gelap.

Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM136.6 bilion dana untuk membekalkan bahan bakar tersebut sejak 2000 justeru jumlah itu boleh dikurangkan jika sistem baharu agihan diesel dan petrol diperkenalkan.

"Pada 2006 kerajaan membelanjakan sebanyak RM7.3 bilion dan meningkat kepada RM23.5 bilion pada 2014 untuk membekalkan bahan api bersubsidi.

"Bagaimanapun, bekalan yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia turut dinikmati warga asing malah isunya sekarang adalah penyeludupan yang berleluasa sehingga di jual ke luar negara," katanya ketika menjadi ahli panel pada program dialog 21st Nation Building Series ‘Revisiting The New Economic Model’ di sini, malam tadi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan desakan pelbagai pihak supaya kerajaan memperkenalkan langkah baharu agihan bahan api selepas pendedahan bahawa daripada sejumlah 8.5 bilion liter diesel subsidi yang diguna pakai oleh kenderaan komersial, 3.5 bilion liter telah disalahgunakan akibat aktiviti penyeludupan dan kegiatan mengaut untung keterlaluan termasuk melalui ‘cara gelap’.

Persoalan timbul tentang bagaimana ini boleh berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM1.2 bilion akibat sindiket penyeludupan petrol dan diesel subsidi.

Menjelaskan langkah yang akan diambil kerajaan, Abdul Wahid berkata, agihan bahan api secara umum sudah tidak relevan justeru pendekatan langsung adalah yang terbaik untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.

"Kita boleh melantik lebih ramai anggota penguatkuasaan tetapi tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ini secara total justeru kerajaan akan mengeluarkan langkah baharu yang lebih relevan selepas ini.

"Penyeludup akan sentiasa mengambil kesempatan dalam apa juga cara maka kita perlukan satu penyelesaian secara menyeluruh yang lebih berkesan iaitu pendekatan terus," tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment