My Add

Friday, 13 June 2014

Purata 32 polis mati sebulan

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 
KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Sebanyak 32 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dilaporkan meninggal dunia setiap bulan sejak Januari lalu dengan majoritinya berpunca daripada penyakit tiga serangkai iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi yang antaranya mempunyai kaitan dengan masalah obesiti.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menekankan pelaksanaan aktiviti riadah yang sememangnya diwajibkan terhadap semua anggota pada setiap hari Jumaat bagi mengatasi masalah kesihatan di kalangan warga PDRM.

"Daripada jumlah 32 kematian sebulan tersebut yang dikira secara purata, ada yang meninggal dunia akibat kemalangan namun majoritinya adalah disebabkan penyakit tiga serangkai.

"Kita memang ada melaksanakan aktiviti yang dipanggil ‘games day’ pada setiap Jumaat bagi menggalakkan setiap anggota beriadah, namun aktiviti terbabit kini kurang dilakukan kerana kesibukan tugas seperti terlibat dengan operasi atau mempunyai tugas luar jangka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai susulan kenyataannya semalam mengenai tindakan PDRM yang memberi amaran tegas kepada setiap anggotanya yang mempunyai masalah obesiti dengan peluang kenaikan pangkat mereka boleh terjejas. Kenyataan itu disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat ketika beliau diminta mengulas rua­ngan Bisik-Bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu yang mengutarakan masalah obesiti dalam kalangan anggota tentera dan polis.

Kata Awang Selamat, tidak segak kalau mereka berpakaian seragam tetapi berperut boroi dan masalah itu juga berlaku dalam kalangan bos-bos polis dan tentera.

Menurut Mohd. Fuzi, pihaknya telah pun memberi peringatan kepada semua penyelia yang terdiri daripada ketua-ketua balai, sub-inspektor atau sarjan mejar agar memantau dan menasihati anggota-anggota yang mempunyai masalah berkaitan.

"Kita juga menggalakkan mereka agar membuat pemeriksaan kesihatan yang lebih kerap supaya penyakit tersebut dapat dikesan lebih awal dan dapat dikawal daripada menjadi lebih serius," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment