My Add

Tuesday 3 June 2014

Ambil peluang melabur projek mega di negara Teluk

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa syarikat-syarikat Malaysia mengambil peluang untuk melabur dalam projek-projek mega yang akan dijalankan di negara-negara Teluk terutamanya Kuwait.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, sudah tiba masanya syarikat-syarikat tempatan membuat pelaburan secara besar-besaran di negara-negara Teluk yang kini sedang giat membangun.

Katanya, pada waktu ini, penyertaan syarikat-syarikat Malaysia di Kuwait dan negara-negara Teluk yang lain sangat rendah berbanding syarikat-syarikat dari Korea Selatan.

"Adalah mencukupi sekiranya syarikat-syarikat Malaysia dapat mengambil sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai projek baharu bandar raya mega di Kuwait bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion).

"Pada waktu ini, projek-projek mega di negara-negara Teluk dan Asia Barat dimonopoli oleh syarikat-syarikat dari Korea Selatan," katanya.

Beliau yang juga Penasihat PSI InControl Sdn. Bhd., (PSI InControl) berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi dan Pengarah Urusan PSI InControl (PSI InControl), Harvinder Singh dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Perniagaan Unit sub stesen PSI InControl, Azhar Abdul Aziz.

Tambah Syed Hussien, tiga sektor yang sangat diperlukan di negara-negara teluk iaitu infrastruktur, petrokimia dan pelbagai bidang kejuruteraan.

Katanya, negara-negara teluk juga merupakan pasaran yang baik untuk industri perabot dan juga barangan perhiasan.

"Syarikat-syarikat dari Malaysia sepatutnya tidak hanya perlu memberi tumpuan terhadap pasaran tradisional dan di negara-negara tertentu seperti Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebaliknya mula melihat potensi pasaran di negara-negara lain," ujar­nya.

Bercakap mengenai pencapaian PSI InControl setakat ini, kata Syed Hussien, pihaknya berjaya mendapat kontrak selama setahun menggantikan Unit-unit Terminal Remote (RTU) dalam 30 buah sub stesen dari Pihak Berkuasa Elektrik dan Air (EWA) Bahrain bernilai RM4.5 juta.

Pencapaian sebelum ini, jelasnya, PSI Incontrol berjaya melaksanakan projek untuk tiga tahun bernilai RM50 juta di Muscat City, Oman.

Sekarang, projek di Oman memasuki tahun kedua, kata Syed Hussien.

"Berdasarkan penggunaan teknologi yang terkini dan inovatif, kami mengunjurkan pencapaian perolehan sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022,'' tegas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment