My Add

Monday 9 June 2014

Banjir ragut 80 nyawa di Afghanistan

 * PENDUDUK pulang ke kediaman mereka selepas banjir kilat melanda daerah Gozargah-e Noor, dalam wilayah Baghlan di utara Afghanistan kelmarin.
KUNDUZ, AHAD 08 Jun, 2014:Pasukan penyelamat bertungkus-lumus menghantar bekalan makanan dan perubatan kepada sejumlah keluarga yang terpisah di kawasan pergunungan semalam selepas banjir kilat yang melanda utara Afghanistan meragut 80 nyawa setakat ini.

Angka kematian dijangka meningkat dengan sejumlah mangsa dilaporkan masih hilang dalam bencana itu yang melanda daerah Gozargah-e Noor, dalam wilayah pergunungan Baghlan pada Jumaat lalu.

Banjir kilat itu berlaku sebulan selepas satu kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan sebuah kampung di kawasan berhampiran tertimbus.

Seramai 300 orang terkorban dalam bencana tanah runtuh tersebut.

"Penduduk di kawasan tersebut hilang segala-galanya termasuk rumah, harta benda, kampung, kebun dan haiwan ternakan," kata jurucakap polis Baghlan, Jawed Basharat.

"Tiada apa yang tinggal untuk membolehkan mereka meneruskan kehidupan. Malah, mereka tidak mempunyai bekalan air minuman," tambahnya.

Basharat memberitahu, angka korban telah meningkat kepada 80 orang manakala tentera Afghanistan sedang bertungkus-lumus untuk menghantar bantuan kepada keluarga-keluarga yang terjejas.

Ramai antara mangsa tersebut katanya, melarikan diri ke puncak gunung bagi mengelakkan ditenggelami air banjir.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Afghanistan menghantar dua buah helikopter untuk membawa bantuan melalui udara selepas beberapa jalan raya dan laluan di lereng gunung rosak akibat bencana itu. - AFP/KOSMO!

No comments:

Post a Comment