My Add

Friday 20 June 2014

Banyak kelemahan agihan diesel subsidi

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
 Nur Jazlan
KUALA LUMPUR, KHAMIS 19 Jun, 2014: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati wujud banyak kelemahan dalam sistem agihan diesel bersubsidi yang digunakan sekarang sehingga menyebabkan berlaku ketirisan terhadap penggunaannya dan mendatangkan kerugian kepada negara.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terlalu lemah kerana masih menggunakan sistem aduan secara konvensional.

Sehubungan itu, katanya, PAC akan memanggil KPDNKK sekali lagi untuk memberi penjelasan mengenai langkah-langkah yang akan diambil kementerian bagi mengatasi kelemahan tersebut.

"Sebagai contoh, pam minyak menggunakan kad fleet tetapi kad itu boleh digunakan oleh ramai orang secara berkali-kali namun kementerian tidak memantau penggunaan ini sama ada melebihi jumlah ditetapkan bulanan, jadi ini satu kelemahan.

"Teknologi maklumat (IT) tidak digunakan untuk memantau jadi gagal mengesan ketirisan apabila mereka (pihak mengambil kesempatan) menggunakan diesel subsidi lebih daripada yang sepatutnya," katanya selepas mesyuarat antara PAC dengan KPDNKK dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bangunan Parlimen hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah.

Nur Jazlan berkata, PAC telah menyarankan KPDNKK menggunakan sepenuhnya IT melalui pengumpulan data bagi menjalankan penguatkuasaan dengan memanfaatkan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menerima aduan daripada orang ramai.

Katanya, melalui sistem itu, penjimatan modal insan dapat dikurangkan iaitu KPDNKK boleh mengerahkan pegawai penguat kuasanya menyiasat di kawasan tumpuan yang disyaki wujud aktiviti penyalahgunaan hasil daripada data yang dianalisa.

"Maknanya, macam nelayan kita tengok berapa penggunaan di tempat itu dengan mengumpulkan maklumat jumlah nelayan dan keperluan kemudian tetapkan satu piawaian iaitu berapa jumlah bahan api di situ.

"Selepas itu, melalui data itu boleh jalankan pemantauan dan kalau penggunaan itu melebihi piawaian yang ditetapkan mungkin berlaku penyalahgunaan justeru pegawai penguat kuasa boleh menjalankan siasatan di tempat itu," jelas Nur Jazlan.

Sementara itu, menurut beliau, PAC turut mempersoalkan tindakan KPDNKK yang baru menghentikan penggunaan nanoteknologi dalam diesel bersubsidi selepas empat tahun dan menelan belanja RM117 juta.

Menurut beliau, kementerian sepatutnya menghentikan penggunaannya sejak awal lagi setelah mendapati sistem itu tidak efisien untuk mengelakkan pembaziran bukannya menunggu sehingga empat tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment