My Add

Friday 20 June 2014

Institusi agama, termasuk MAIS mesti dipertahankan

 Mohd. Nor Hamzah
KUALA TERENGGANU, KHAMIS 19 Jun, 2014: Institusi agama di setiap negeri, tidak terkecuali Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mesti dipertahankan demi menjaga kepentingan agama Islam itu sendiri.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, begitu juga dalam konteks Terengganu, Pas negeri akan terus mempertahankan institusi seumpama itu termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan pendirian sebenar Pas negeri sejurus diadukan soalan mengenai gesaan empat Ahli Parlimen Pas di Selangor supaya kuasa MAIS dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dihapuskan, berkaitan isu rampasan Bible.

"Itu kena tanya Pas Selangor. (Tetapi) Di Terengganu, sebagaimana kita (Pas) pertahankan MAIDAM lah. Institusi agama itu mesti dipertahankan," katanya dalam sidang akhbar mengenai isu-isu pembangunan Terengganu di sini hari ini.

Sidang akhbar itu diketuai Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak.

Mohd. Nor menyatakan perkara itu ketika ditanya mengenai pendirian Pas Terengganu terhadap gesaan empat wakil rakyat Pas Selangor itu yang mendesak agar MAIS tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Mereka juga mendesak enakmen yang diberi kuasa eksekutif kepada agensi itu dipinda berikutan tindakan JAIS merampas 300 naskhah Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) Januari lalu.

Mohd. Nor selanjutnya menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan salah seorang daripada empat pemimpin Pas Selangor iaitu Khalid Samad mengenai perkara itu hanya pandangan peribadi Ahli Parlimen Shah Alam itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment