My Add

Saturday 21 June 2014

Bincang dengan Peguam Negara - Abdul Khalid

KUALA SELANGOR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Kerajaan negeri telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mencari kaedah-kaedah yang sesuai mengikut perundangan bagi menyelesaikan isu Bible yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, arahan itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang telah menegaskan isu pemulangan atau pelupusan kitab Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah, dilaksanakan mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

"Penasihat Undang-Undang Negeri telah diminta mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti bagaimana pelaksanaan itu dapat dibuat dengan tertib dan cepat.

"Jika isu ini terlalu lama untuk diselesaikan, kita khuatir masyarakat akan merasakan keadilan itu tidak dibuat dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dana untuk Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Daerah Kuala Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens di sini hari ini.

Semalam, Sultan Selangor menegaskan isu pemulangan atau pelupusan Bible dalam bahasan Melayu dan menggunakan kalimah Allah yang dirampas JAIS di Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lalu perlu diselesaikan mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

Dalam titah berkenaan yang dimaklumkan oleh Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan rasmi itu, baginda turut menitahkan JAIS segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya untuk dibawa ke mahkamah selaras dengan arahan Jabatan Peguam Negara sebelum ini.

Malah, baginda turut memberi peringatan kepada mana-mana ahli politik tidak menggunakan isu Bible itu dengan membuat syor-syor tidak munasabah untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka sehingga boleh mengelirukan serta meresahkan masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menyatakan beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan barisan Exco kerajaan negeri Isnin ini mengenai titah Sultan Selangor tersebut dan akan membuat pengumuman hasil perbincangan berkenaan pada hari yang sama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment