My Add

Saturday 21 June 2014

Peluang menangi RM32,000

Oleh Norazlina Ismail

 * ABDUL Fattah Abdullah (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Mohd. Noordin Abbas (kanan) sambil disaksikan oleh Nasir Khan Yahya dan Mohd. Kamil Yusoff (kiri) pada Majlis Penyerahan Tajaan Selfie Ramadan & Syawal @ Nusantara di Kelana Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Hadiah wang tunai berjumlah RM32,000 menanti para pemenang pertandingan mengambil gambar sendiri (selfie) suasana Ramadan dan Syawal anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan akhbar e-paper jawi, Utusan Melayu Mingguan.

Pertandingan yang diberi nama Selfie Ramadan & Syawal @ Nusantara itu bukan sahaja untuk peserta dalam negara tetapi juga terbuka kepada peserta dari Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Terbahagi kepada tiga kategori penyertaan iaitu terbuka, remaja (15-23 tahun) dan sekolah, pertandingan itu menawarkan hadiah RM5,000 untuk setiap kategori, RM3,000 (kedua) dan RM1,000 (ketika) selain 10 hadiah saguhati bernilai RM500 setiap satu.

Peserta hanya perlu mengambil foto secara 'selfie' suasana ceria Ramadan dan Syawal menggunakan telefon pintar atau kamera digital dan menghantarnya melalui Facebook Selfie Ramadan & Syawal@Nusantara atau e-mel ke: selfie.ramadan.syawal@gmail.com.

Pertandingan kali ini adalah kerjasama kali keempat dan memasuki tahun kelima antara Angkasa dan akhbar Utusan Melayu Mingguan sejak 2009 yang dimulakan dengan Pertandingan Seni Jawi Nusantara.

Satu majlis penyerahan tajaan daripada Angkasa berjumlah RM100,000 diadakan di bangunan Angkasa di Wisma Ungku Abdul Aziz di Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Cek tajaan diserahkan oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas.

Yang hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Setiausaha Eksekutif Angkasa, Mohammad Zamri Yaacob; Pegawai Perunding Korporat Angkasa, Datuk Ahmad Jamil Hashim; Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Syed Agil Syed Jaafar dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.

Abdul Fattah berkata, kerjasama itu menyasarkan golongan muda terutamanya pelajar sekolah dalam membudayakan tulisan jawi.

"Dalam sektor koperasi tulen, kita bukan sahaja menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial tetapi kita juga mempertahan dan mempromosikan ciri-ciri kebudayaan orang Melayu dan Islam.

"Koperasi kini tidak hanya dianggotai oleh golongan dewasa, malah kita juga ada dua juta ahli koperasi remaja daripada 2,500 bagi segmen koperasi sekolah," katanya.

Sementara itu, Mohd. Noordin berkata, kesediaan Angkasa bekerjasama dengan Utusan Melayu Mingguan menunjukkan wujudnya keserasian dua entiti tersebut dalam perjuangan memartabatkan warisan seni tulisan jawi.

"Usaha sedemikian memang kena pada masanya memandangkan Utusan sendiri pernah menerbitkan akhbar dalam tulisan jawi sebelum dihentikan.

"Dalam tempoh pemberhentian cetakan akhbar jawi, kita dapati ada pihak seperti Angkasa yang ke hadapan menjadi perintis kepada usaha lestari bagi terus memartabatkan tulisan," jelasnya.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 29 Ogos ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment