My Add

Saturday 21 June 2014

Bunuh isteri: Dr. Jitweer Singh dihukum mati

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Walaupun pernah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh isterinya di akhir kes pendakwaan, nasib baik itu tidak berlanjutan terhadap seorang doktor apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan dia bersalah atas pertuduhan tersebut.

"Oleh itu, saya memerintahkan agar awak digantung di leher sehingga mati. Awak ada hak untuk merayu. Sekiranya saya tersilap, Mahkamah Rayuan akan mengetepikan keputusan saya. Keputusan yang saya buat adalah yang terbaik berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan kepada saya," kata Hakim Datuk Asmabi Mohamad.

Beliau memutuskan demikian terhadap Dr. Jitweer Singh Ojagar Singh setelah mendapati pembelaan tertuduh bahawa isterinya, Shento Kaur Jaswant Singh, 46, mati akibat asfiksia kedudukan (positional asphyxia) merupakan keterangan yang difikirkan kemudian.

Hakim tersebut turut menyatakan bahawa keterangan pakar patologi berhubung punca kematian menunjukkan kejadian itu bukan disebabkan kemalangan atau bunuh diri tetapi dibunuh.

Pada 30 Ogos 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Jitweer daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mahkamah Rayuan pada 28 September 2011 turut mengekalkan keputusan tersebut.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 5 Ogos 2013, mengetepikan keputusan terbabit dan memerintahkan Jitweer dibicarakan semula pada peringkat bela diri.

Di peringkat pembelaan, enam saksi dipanggil memberi keterangan sementara 21 saksi tampil memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Jitweer yang memiliki sebuah klinik di Rawang dan sebelum ini diwakili oleh mendiang peguam Karpal Singh didakwa membunuh Shento di rumah mereka di Bandar Country Homes, Rawang, antara pukul 7 pagi dan pukul 8.10 pagi, 22 Oktober 2007. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment