My Add

Saturday 21 June 2014

9 dihukum gantung bunuh buruh

Oleh MARZITA ABDULLAH
 
 * SEBAHAGIAN daripada sembilan orang termasuk dua wanita diiringi anggota polis selepas dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM, JUMAAT 20 Jun, 2014: Sembilan individu termasuk dua suri rumah dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang buruh lelaki dalam satu pergaduhan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap semua tertuduh di akhir kes pembelaan.

Beliau menegaskan, berdasarkan laporan pakar patalogi kecederaan yang dialami mangsa adalah melampau dan tidak menunjukkan ia sebagai satu pengajaran.

Walau bagaimanapun mahkamah memerintahkan tiga daripada tertuduh yang merupakan remaja lelaki ditahan sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor berikutan semasa kejadian mereka berusia antara 15 tahun dan 17 tahun.

Kesemua tertuduh iaitu S. Chandrasegaran, 38, L. Steven Raj, 23, M. John, 39, S. Yuvaraj, 27, dan suri rumah, S. Nirmala, 31, dan M. Jeyenthi, 23, serta tiga remaja yang kini berusia 19 dan 22 tahun antaranya bekerja sebagai buruh, pengait kelapa sawit, mekanik, penganggur dan pelajar.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa sebagai ahli satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah membunuh G. Stowan, 19, di Jalan Orkid, Kawasan Kelab Golf Bukit Beruntung dekat sini antara pukul 2 pagi dan 6 pagi, 14 Januari 2010.

Stowan merupakan kekasih kepada Jeyenthi dan mereka mempunyai dua anak manakala Nirmala yang merupakan ibu tunggal dengan lima anak merupakan sepupu kepada wanita itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazillah Begum Abdul Ghani mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan tiga kali terhadap Chandrasegaran manakala tertuduh lain dihukum penjara tiga tahun dan jumlah sebatan yang sama setelah didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap adik mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap G. Balu, 21, dengan memukulnya menggunakan antaranya kayu hoki, parang dan pisau sehingga boleh menyebabkan kematian di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Chandrasegaran turut didenda RM1,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda setelah didapati bersalah memukul rakan Balu, S. Vinod , 17, menggunakan tangan di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Tertuduh-tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, K.A Ramu, Imran Hadzalie Abdul Hamid dan M. Mathavan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 20 saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan sembilan saksi terdiri daripada kesemua tertuduh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment