My Add

Saturday 7 June 2014

Dagangan Malaysia meningkat RM123.86b

Mustapa Mohamed 

KUALA LUMPUR, JUMAAT 06 Jun, 2014: Jumlah dagangan Malaysia pada April 2014 meningkat 12 peratus tahun ke tahun kepada RM123.86 bilion hasil daripada peningkatan aktiviti perdagangan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. .

Beliau berkata, peningkatan dagangan direkodkan dengan China meningkat kepada RM1.72 bilion, Taiwan (RM1.51 bilion), Korea Selatan (RM1.49 bilion), Hong Kong (RM1.37 bilion), Australia (RM1.25 bilion), Singapura (RM1.2 bilion) dan Jepun (RM1 bilion).

Dalam satu kenyataan hari ini, Mustapa berkata, eksport bernilai RM66.37 bilion pada April, peningkatan sebanyak RM10.56 bilion berbanding April 2013, manakala import berkembang lima peratus kepada RM57.5 bilion, menyumbangkan lebihan dagangan sebanyak RM8.87 bilion.

Eksport utama terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM21.68 bilion mewakili 32.7 peratus jumlah eksport, meningkat 22 peratus berbanding April 2013, barangan petroleum bertapis (RM5.6 bilion) dan gas asli cecair (RM5.35 bilion).

Produk lain termasuk kimia dan barangan kimia (RM4.56 bilion) dan minyak sawit, meliputi minyak sawit mentah, ’fractionated palm oil’, isirung, olein dan stearin, berjumlah RM3.84 bilion.

Produk import utama terdiri daripada barangan E&E yang meningkat 7.5 peratus pada RM15.33 bilion atau 26.7 peratus daripada jumlah import, produk petroleum bertapis (RM6.47 bilion) dan kimia serta produk kimia (RM5.68 bilion).

Mustapa berkata, prestasi dagangan Malaysia menunjukkan aliran meningkat dengan jumlah dagangan mengembang sebanyak 9.3 peratus kepada RM473.24 bilion antara Januari hingga April 2014, berbanding tempoh sama pada 2013, hasil daripada prestasi eksport yang kukuh dalam tempoh itu.

"Kita mencatat pengembangan ketara dalam dagangan dengan beberapa rakan dagang, dan pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan trajektori untuk eksport sepanjang 10 bulan yang lepas sejak Julai," katanya.

Selari dengan trend pertumbuhan ini, beliau berkata, Malaysia mencatat lebihan dagangan yang kukuh, sebanyak RM35.19 bilion pada empat bulan pertama 2014 dengan eksport meningkat 12.8 peratus kepada RM254.22 bilion dan import meningkat 5.4 peratus kepada RM219.03 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment