My Add

Tuesday 3 June 2014

DAP dilihat salahkan pengundi

SHAH ALAM, ISNIN 02 Jun, 2014: DAP dilihat menyalahkan para pengundi susulan kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Sabtu lalu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, tindakan menyalahkan pengundi dilihat tidak wajar kerana sebagai rakyat di kawasan tersebut, mereka sedia maklum atau berdepan sendiri dengan setiap permasalahan yang dihadapi di Teluk Intan meskipun DAP telah diberikan kepercayaan memimpin Parlimen itu sejak enam tahun lalu.

"Mengapa DAP perlu meletakkan punca kekalahan mereka di bahu pengundi di Teluk Intan dengan alasan seperti peratusan keluar mengundi rendah selain mengatakan calonnya, Dyana Sofya Mohd. Daud sebagai muka baharu dan tidak sempat mengenali pengundi?

"Sepatutnya DAP perlu melihat sendiri apa sumbangan mereka kepada rakyat di kawasan Teluk Intan selama ini sehingga rakyat di Parlimen itu menolak mereka. DAP jangan ingat tanggungjawab politik hanya sekadar berceramah di atas pentas dan menaburkan 'janji air liur' semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP yang jawatannya belum disahkan, Lim Guan Eng menyenaraikan tiga faktor kekalahan parti itu dalam PRK Parlimen Teluk Intan iaitu peratusan keluar mengundi yang rendah selain permainan politik calon lawan mereka, UMNO ketika kempen pilihan raya kecil berkenaan.

Selain itu, Guan Eng turut memberikan alasan Dyana Sofya merupakan muka baharu di kawasan tersebut serta tidak mempunyai cukup masa untuk membiasakan diri dengan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin mengingatkan para pengundi di Selangor khususnya masyarakat Cina supaya tidak lagi bergantung harap kepada DAP sebagai sebuah parti yang benar-benar dapat membela masa depan mereka.

"Di Selangor sendiri sebagai contoh, apa sumbangan DAP kepada rakyat meskipun mentadbir negeri ini bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Sebaliknya Selangor sendiri dilihat penuh dengan pelbagai isu yang tidak mampu kerajaan negeri tangani sehingga menyukarkan hidup rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment