My Add

Sunday 8 June 2014

DAP syor tubuh jawatankuasa, Pas minta tangguh

JOHOR BAHRU, SABTU 07 Jun, 2014: DAP negeri ini meminta kerajaan negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pembangkang bagi menyuarakan pendapat tentang penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).

Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, ia wajar kerana sebelum sesuatu tindakan diambil dan penting untuk kerajaan negeri mengambil kira pendapat dan suara rakyat.

"Jawatankuasa tersebut perlu disertai oleh wakil rakyat BN dan pakatan pembangkang untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan LPHJ," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian terperinci perlu dilakukan tentang perkara ini kerana apa-apa tindakan yang diambil seharusnya memberi impak positif kepada masyarakat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Aminolhuda Hassan turut meminta kerajaan negeri menangguhkan pembentangan rang undang-undang tersebut bagi memberi ruang kajian semula dibuat.

Beliau berkata, keputusan tentang penubuhan LPHJ perlu mengambil kira pandangan daripada semua pihak kerana melibatkan keperluan rakyat.

"Kita kena kaji dan teliti semula perkara ini dan seeloknya pembentangan rang undang-undang berkenaan yang akan dibuat Isnin ini ditangguhkan. Ia melibatkan rakyat, kita kena fikir kesannya kepada rakyat dalam konteks keperluan dan kehendak mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment