My Add

Sunday 8 June 2014

Presiden Ukraine angkat sumpah

 * PETRO Poroshenko (depan), memegang cokmar Presiden semasa majlis angkat sumpah sambil disaksikan Speakar Parlimen, Oleksander Turchinov di Kiev, semalam. - REUTERS
KIEV, SABTU 07 Jun, 2014: Bilionair, Petro Poroshenko mengangkat sumpah sebagai Presiden Ukraine hari ini, sehari selepas buat julung-julung kalinya mengadakan rundingan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin berhubung krisis berdarah antara dua negara.

Upacara angkat sumpah Poroshenko, 48, berlangsung di Parlimen di Kiev, selepas beliau mendapat mandat menerusi pilihan raya pada 25 Mei lalu, untuk menyelamatkan Ukraine daripada perpecahan serta kejatuhan ekonomi.

Sebelum mengangkat sumpah, beliau yang turut dikenali sebagai Raja Coklat, meminta para hadirin bertafakur bagi memperingati kematian 100 individu dalam pertempuran berdarah di Kiev selama tiga hari yang membawa kepada pengunduran kumpulan pro-Rusia di timur negara ini.

Beliau kemudiannya berikrar untuk memberi pengampunan kepada mana-mana anggota kumpulan pemisah yang ‘tidak mengangkat senjata’ sebagai langkah awal dalam inisiatif damai yang dibentuk bagi menyelamatkan negara yang mempunyai seramai 46 juta penduduk yang telah pun kehilangan Crimea kepada Rusia.

"Saya mengambil alih jawatan Presiden bagi memelihara dan mengukuhkan perpaduan Ukraine," kata Poroshenko dalam ucapan yang dise­lang seli dalam bahasa Ukraine dan Rusia.

Beliau pada masa menegaskan tidak menerima tindakan Rusia merampas Crimea atau usaha mengalihkan tumpuannya untuk lebih pro-Eropah.

"Crimea akan kekal sebahagian daripada Ukraine. Ini adalah saat kebenaran dan terpulang kepada kita untuk menentukan masa depan kita," tegas Poroshenko dalam majlis yang turut dihadiri Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Dalam perkembangan lain, pemimpin-pemimpin AS, Rusia dan Ukraine mengadakan perbincangan secara berasingan di Perancis semalam, dipercayai bagi membincangkan kemungkinan gencatan senjata dan langkah-langkah lain untuk meredakan krisis di Ukraine.

Putin turut dilihat mengadakan perbincangan ringkas dengan rakan sejawatnya dari AS, Barack Obama dan Poroshenko dalam satu langkah diplomatik di tengah-tengah keganasan di timur Ukraine.

Bercakap kepada media, Putin berkata, pertemuan dengan Poroshenko dan beberapa pemimpin-pemimpin Barat agak positif dan menyifatkan perbincangan dengan Obama sebagai ‘penting’. - REUTERS/AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment