My Add

Friday 13 June 2014

Ekonomi 2014 kekal kukuh

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SOFIAN BAHAROM

 * NAJIB Tun Razak diiringi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kiri) berjalan keluar dari dewan selepas menjawab soalan wakil rakyat pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi negara akan kekal kukuh bagi tempoh separuh kedua 2014.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan terutama melibatkan daya tahan kegiatan domestik serta kekuatan pasaran eksport bagi suku pertama 2014.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik juga menjadi pemangkin kepada keyakinan bahawa ekonomi Malaysia akan kekal kukuh.

"Insya-Allah (dengan segala) perkembangan yang menggalakkan ini akan membolehkan ekonomi negara mencapai sasaran melebihi lima peratus bagi keseluruhan 2014.

"Ini selaras dengan unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia iaitu sebanyak 5.2 peratus bagi 2014," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai kedudukan terkini prestasi ekonomi negara.

Menurut Najib, ekonomi negara menunjukkan trend memberangsangkan apabila bagi suku pertama 2014 sahaja, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.2 peratus berbanding 4.2 peratus untuk tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu, jelas beliau, adalah lebih baik berbanding Filipina iaitu 5.7 peratus, Indonesia (5.2 peratus), Singapura (5.1 peratus) dan Thailand (-0.6 peratus).

Selain itu, Perdana Menteri berkata, dalam suku pertama tahun ini juga, pelaburan swasta berkembang 16.7 peratus kepada RM44.4 bilion sekali gus menyumbang 66.5 peratus kepada jumlah pelaburan.

"Pencapaian ini adalah hasil daripada langkah positif program transformasi kerajaan sejak 2009 serta turut disokong asas-asas ekonomi negara yang mantap," ujarnya.

Tambahnya, semua kejayaan ekonomi Malaysia itu adalah hasil urus tadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hakikat tersebut tidak wajar dinafikan mana-mana pihak khususnya pembangkang.

Kepada soalan tambahan Shamsul Anuar mengenai faktor kerancakan pelaburan swasta dan asing di negara ini, Najib memberitahu, perkara itu didorong kestabilan politik serta dasar mesra pelabur oleh kerajaan.

Sementara itu, menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) mengenai hutang negara, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengamalkan dasar kewangan yang bertanggungjawab.

"Kita melaksanakan perbelanjaan berhemah bagi memastikan ekonomi berkembang dan hutang dari segi KDNK dapat dikekalkan pada paras tidak melebihi 55 peratus," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment