My Add

Tuesday, 3 June 2014

Enakmen jenayah syariah diwarta

Oleh SAFINA RAMLI

 * KHAIRIL Akmal Hanafi (kiri) menerangkan hotel berkonsep taman kepada Mohd. Rawi Abdul Hamid (kanan) dan Dennis Cheng sempena praperasmian Tune Hotel Alor Setar di Jalan Putra Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin
ALOR SETAR, ISNIN 02 Jun, 2014: Para pengikut ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam termasuk Syiah di negeri ini perlu bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 yang kini telah dikuatkuasakan.

Exco Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, rang undang-undang itu telah diwarta dan dikuatkuasakan sepenuhnya di negeri ini bagi menjaga kesucian agama Islam.

"Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014, ada Seksyen 9 dan 11 iaitu sekiranya mana-mana orang berdakwah dan menyebarkan ajaran yang menyalahi fatwa bukan sahaja Syiah bahkan mana-mana ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam iaitu fahaman Ahli Sunnah Wal Jammah boleh dikenakan tindakan.

"Bila-bila masa sahaja apabila dapat aduan bukan sahaja di Pendang tetapi di mana-mana kawasan di Kedah kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan agama Islam," katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kumpulan HBR dengan Bank Rakyat untuk Tune Hotel Alor Setar dan Praperasmian Tune Hotel Alor Setar di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan HBR Khairil Akmal Hanafi dan Pengurus Tune Hotel Wilayah Utara, Dennis Cheng.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai satu perhimpunan pengikut Syiah yang dikatakan berlaku di sebuah rumah di Kampung Alor Berala, Pendang pada Sabtu dan Ahad lalu, Mohd. Rawi berkata, perhimpunan itu tidak seperti yang digembar-gemburkan.

"Melalui risikan yang kita jalankan, rombongan pengikut Syiah dari negeri-negeri lain membatalkan hasrat mereka untuk menyambut perayaan yang ada di dalam kalendar Syiah itu apabila ada laporan polis dibuat mengenainya.

"Yang ada di situ pada hari tersebut cuma orang tempatan yang berjumpa secara biasa dan tiada pembesar suara ataupun majlis keramaian di buat pada hari tersebut," ujarnya.

Khamis lalu, Pemuda UMNO Pendang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bagi menghalang satu perhimpunan didakwa melibatkan pengikut Syiah yang akan diadakan di Kampung Alor Berala.

Ketuanya, Mohamad Fadzil Zulkipli berkata, perhimpunan tertutup itu akan diadakan di sebuah rumah, yang dipercayai menjadi pusat penyebaran fahaman Syiah sejak lima tahun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment