My Add

Thursday 19 June 2014

Fiji minat pelajari pembangunan kawasan luar bandar

 * SHAFIE Apdal (kanan) menunjukkan pemandangan sekitar Putrajaya dari tingkat 32 Kementeri Luar Bandar dan Wilayah kepada Inia Seruiratu ketika menerima kunjungan beliau di pejabatnya di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ ABDUL NAZIR MOHAMED
PUTRAJAYA, RABU 18 Jun, 2014: Kerajaan Fiji berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Malaysia bagi mendapatkan kepakaran membangunkan kawasan luar bandar di negara kepulauan pasifik selatan itu menggunakan beberapa program pembangunan di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, negara yang mempunyai penduduk lebih 850,000 itu kagum dengan pencapaian Malaysia yang berjaya memajukan kawasan luar bandar dalam masa singkat menerusi pelbagai program bermanfaat kepada orang ramai.

Selain itu, katanya, Fiji juga berminat untuk mempelajari kejayaan Malaysia membangunkan projek pertanian di kawasan luar bandar seperti Felcra dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Pekebun Kecil Getah (RISDA).

"Buat masa ini mereka sedang meninjau beberapa program yang memerlukan kepakaran Malaysia antaranya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Felcra, RISDA, Desa Abad ke-21, program keusahawanan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), transformasi pendidikan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam membangunkan perumahan, jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.

"Bagi RTC, mereka melihat program ini merupakan satu konsep baharu yang perlu diikuti supaya dapat diba­ngunkan di negara mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Luar Bandar, Pembangunan Maritim dan Pengurusan Bencana Negara yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Fiji, Inia Seruiratu di pejabatnya di Bangunan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam masa terdekat bagi membangunkan beberapa bidang khusus di kawasan luar bandar negara itu.

Katanya, Fiji juga berminat mempelajari kejayaan Malaysia membangunkan modal insan terutama dalam bidang penerokaan minyak dan gas serta hasil negara.

Sementara itu, Seruiratu berkata, kepakaran Malaysia dalam membangunkan kawasan luar bandar sangat diperlukan memandangkan banyak projek yang dilaksanakan mereka gagal berikutan beberapa masalah antaranya perancangan, kewangan dan pemantauan yang tidak rapi.

Beliau berkata, pihaknya perlu mempelajari kepakaran tersebut supaya setiap projek yang dirancang memberikan impak berkesan kepada penduduk kawasan luar bandar.

"Selain itu, kita juga berhasrat untuk mempelajari kaedah mendekati penduduk di kawasan luar bandar seperti yang telah dilaksanakan di Malaysia," katanya.

"Pada masa sama, kita juga merancang pembangunan modal insan kerana tiada guna sekiranya sistem terbaik diwujudkan tetapi tidak mempunyai kakitangan yang tepat serta cekap," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment