My Add

Thursday 19 June 2014

Kawalan di perairan Sabah perlu dipertingkatkan

PUTRAJAYA, RABU 18 Jun, 2014: Pihak keselamatan negara digesa segera mempertingkatkan kawalan keselamatan di perairan Sabah bagi mengelakkan berulangnya kes penculikan di pantai timur negeri itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dalang sebenar siri penculikan di kawasan tersebut perlu ditangkap segera bagi mengelakkan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan mereka.

"Saya minta langkah-langkah yang perlu dilakukan diambil segera, jangan banyak cakap lagi dan buat kerja segera sekiranya terdapat pembabitan anggota keselamatan yang mengambil rasuah.

"Ini merupakan perkara yang patut dilakukan segera kerana boleh menjejaskan kawasan di situ termasuk kemasukan pelancong," katanya selepas menerima lawatan Menteri Luar Bandar, Pembangunan Maritim dan Pengurusan Bencana Negara merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Fiji, Inia Seruiratu di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna mengulas kes penculikan terbaharu di Kampung Sapang Air, Kunak, Sabah kelmarin yang melibatkan seorang pengusaha ikan sangkar, Chan San Chiun, 32, dan pekerjanya yang hanya dikenali sebagai Mazlan.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau anggota masing-masing bagi mengelak wujudnya tali barut.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berharap, isu tersebut diatasi segera supaya rakyat tidak hilang keyakinan kepada pasukan keselamatan dan kerajaan.

Katanya, beliau mempunyai beberapa cadangan bagi menangani isu tersebut, namun akan membentangkannya terlebih dahulu kepada pasukan keselamatan bagi mengelakkan kebocoran maklumat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment