My Add

Tuesday 3 June 2014

GST: Luar bandar nikmati tambahan peruntukan

BARAM, ISNIN 02 Jun, 2014: Peruntukan untuk pembangunan di kawasan luar bandar akan dapat ditambah lagi untuk manfaat penduduk apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Katanya, melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan yang seterusnya disalurkan untuk tujuan pembangunan negara khususnya di kawasan luar bandar.

"Bila hasil kita bertambah, sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk membuat jalan raya luar bandar, sekolah, hospital dan klinik kesihatan," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Gawai Dayak di Long Silat, sebuah perkampungan masyarakat Kenyah di sini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa masyarakat luar bandar tidak perlu bimbang dengan dakyah pembangkang yang cuba menghasut mereka untuk menentang pelaksanaan GST.

"Saya memberi jaminan di sini bahawa barang keperluan harian rakyat adalah dikecualikan daripada GST," katanya.

Najib berkata, penduduk di kawasan luar bandar seperti di daerah Baram selama ini menunjukkan kesetiaan dan keikhlasan mereka menyokong kerajaan Barisan Nasional dan mereka wajar terus dibela.

Ekoran sokongan padu ini, kerajaan telah dapat menjalankan program-program pembangunannya di daerah ini dan memanfaatkan penduduk secara berperingkat.

"Saya yakin dengan adanya tanda-tanda pemulihan (pembangunan) yang berlaku sekarang di sini, kita akan dapat menyelesaikan perkara-perkara yang menjadi masalah kepada rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk membaiki jalan-jalan balak yang sudah usang di Baram untuk dijadikan jalan perhubungan rakyat kawasan ini dan RM64 juta daripadanya sudahpun dibelanjakan.

"Sejumlah RM263 juta akan dibelanjakan sehingga 2016 dan kalau hasil (kerajaan) bertambah, saya boleh menambah lagi peruntukan ini dalam masa yang terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut meluluskan peruntukan berjumlah RM26.6 juta untuk penyambungan bekalan elektrik dari stesen hidro mini di Long Banga di sini ke kampung-kampung di sekitarnya.

Katanya projek hidro mini yang sudah siap sejak dilaksanakan tiga tahun lepas mampu menjana 330 kilowatt tenaga namun sehingga kini hanya 27 peratus kapasitinya digunakan.

"Saya meluluskan peruntukan ini supaya lebih banyak lagi kampung di sekitar Long Banga dapat menikmati bekalan elektrik," katanya.

Ketibaan Perdana Menteri ke penempatan kaum Kenyah yang terpencil itu disambut dengan penuh adat-istiadat kaum itu. Beliau diarak di atas sebuah perahu tradisional yang ditarik oleh masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan beberapa orang menteri Kabinet persekutuan dan negeri ialah antara kira-kira 3,000 orang yang turut hadir dalam majlis itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment