My Add

Tuesday 3 June 2014

Tapak kaki bersaiz gergasi ditemui di Puchong

*  SHAMSUDDIN Kassim menunjukkan salah satu daripada tiga bekas tapak kaki bersaiz gergasi di Kampung Sri Aman Dalam, Puchong, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN 2 Jun, 2014: Penduduk Kampung Sri Aman Dalam dekat Puchong di sini gempar apabila menemukan tiga bekas tapak kaki manusia bersaiz gergasi dengan dua daripadanya berukuran 0.5 meter manakala satu lagi bersaiz 0.3 meter di pekarangan sebuah rumah semalam.

Dua bekas tapak kaki itu ditemukan pemilik rumah berkenaan, Abdul Wahab Md. Wali, 78, di atas sebuah karpet buruk yang sengaja dihamparkan di luar untuk dijadikan tempat meletakkan kenderaan dan satu lagi berhampiran pokok buah belimbing buluh.

Berikutan itu, katanya, satu laporan polis dibuat adik iparnya, Kamaruddin Ismail, 68, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya selain turut menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Abdul Wahab, dia menemukan bekas tapak kaki itu semasa hendak keluar minum di sebuah kedai kopi berdekatan kira-kira pukul 5 petang.

"Saya memaklumkan penemuan itu kepada menantu lelaki saya dan kami membuat kesimpulan, kesan itu bukanlah milik haiwan. Berikutan itu, anak dan cucu saya mulai ketakutan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kamaruddin pula berkata, mereka beranggapan bekas tapak kaki itu ada kaitan dengan alam mistik kerana saiznya luar biasa.

"Pihak perhilitan yang datang setakat ini mengesahkannya bukan bekas tapak kaki haiwan," katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan berkaitan perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pihak terlibat untuk membantu siasatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment