My Add

Wednesday 18 June 2014

Hanya 30% peniaga bumiputera di klia2?

Oleh YULPISMAN ASLI

 * RUANG dalaman gateway@klia2 menawarkan lebih banyak suasana yang selesa dan menarik kepada pengunjung. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
SEPANG, SELASA 17 Jun, 2014: Dakwaan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tidak mesra peniaga bumiputera terus mencetuskan persoalan apabila pihak pengurusan gateway@klia2 memaklumkan, terdapat kira-kira 30 peratus peniaga bumiputera dan Islam yang berniaga di kompleks beli-belah tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengurus Pusat gateway@klia2, Vincent Chong ketika diminta mengulas bilangan peniaga bumiputera yang beroperasi di situ, namun enggan mengulas lanjut.

Malah, beliau turut memaklumkan bahawa pemilihan peniaga atau penyewa diputuskan oleh lembaga yang disertai oleh syarikat Segi Astana Sdn. Bhd. selaku pengurus kompleks berkenaan, WCT Berhad serta Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut. WCT menguasai 70 peratus kepentingan di dalam Segi, manakala 30 peratus lagi dimiliki oleh MAHB.

"Pemilihan dibuat oleh ketiga-tiga pihak dan tidak berlaku masalah pertindihan penyewa atau kepentingan. Kadar sewa di sini secara purata RM23 perkaki persegi bergantung kepada kawasan (lokasi)," katanya kepada pemberita yang menyertai lawatan media ke gateway@klia2 di sini hari ini.

Menurut Chong, terdapat 180 ruang niaga atau lot kedai di klia2 dengan 136 daripadanya telah disewa, namun hanya 115 yang beroperasi setakat ini dengan majoriti penyewa terdiri daripada syarikat-syarikat milik rakyat Malaysia yang memasarkan jenama tempatan.

Beliau turut menyatakan keyakinan pihaknya bahawa baki 20 peratus lagi ruang niaga akan dapat dipenuhi dalam tempoh setahun kompleks itu beroperasi iaitu sehingga Mei 2015.

Dalam pada itu, Chong memberitahu, gateway@klia2 dijangka menerima seramai 36 juta pengunjung dalam tempoh setahun lapangan terbang itu beroperasi dengan purata seramai tiga juta pengunjung sebulan.

"Penumpang pesawat merupakan kumpulan terbesar pengunjung ke gateway@klia2, manakala selebihnya terdiri daripada penduduk sekitar dan kakitangan yang bertugas di kompleks beli-belah ini," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment