My Add

Wednesday 18 June 2014

Pengurus syarikat pembersihan didakwa bunuh bayi

 * WONG Weng Yew dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM, SELASA 17 Jun, 2014: Seorang pengurus syarikat perkhidmatan pembersihan yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat bayi yang dicampak ke dalam gaung dekat Genting Highlands, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayi berkenaan, bulan lalu.

Wong Weng Yew, 41, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap bayi lelaki berusia enam bulan, Esmen Zeus Yves di rumah tertuduh di No. 12, Cannal Garden, Jalan Anggerik Vanilla 31/98S, Seksyen 31, Kota Kemuning di sini di antara 28 Mei dan 31 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Lelaki itu dilihat tenang dan mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Malaysia.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan bapa kepada seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan dua tahun.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 14 Julai ini sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Terdahulu isteri lelaki yang hadir bersama-sama tertuduh dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM50,000 mengikut Seksyen 370 Kanun Tatacara Jenayah untuk menjadi saksi pihak pendakwaan.

Sebelum prosiding bermula, lelaki itu yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat berbual-bual sambil memegang tangan isterinya yang berusia 34 tahun.

Dia juga dilihat tersenyum dan bercakap sesuatu kepada anak lelakinya yang bermain-main di luar kandang tertuduh itu.

Tertuduh yang turut mempunyai lima anak tiri hadir ke mahkamah dengan memakai baju-T berwarna jingga dan berseluar kelabu paras lutut.

Dia yang tidak diwakili peguam dilihat sugul ketika dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai prosiding.

Menurut laporan akhbar, lelaki berkenaan telah ditahan reman selama 14 hari bermula 4 Jun lalu bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Roslan Abdullah dilaporkan berkata, bayi tersebut dipercayai merupakan anak luar nikah kepada salah seorang pembantu rumah di agensi pekerja asing milik suspek.

Suspek dipercayai memberitahu ibu bayi berkenaan yang anaknya meninggal dunia di asrama pekerja di Kota Kemuning pada 31 Mei lalu.

Laporan polis dibuat oleh ibu bayi selepas suspek menghilangkan diri dan pihak polis kemudian berjaya menahan suspek dan isterinya di sini pada 3 Jun lalu.

Ketika siasatan, suspek mengaku membungkus mayat bayi itu di dalam plastik, menyimpannya di dalam bagasi dan membuang bayi di Kilometer 3.2, Jalan Genting Highlands.

Operasi mencari mayat bayi dimulakan pada pukul 9 pagi, 4 Jun lalu dan polis berjaya menemukan mayat bayi itu pada pukul 11 pagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment