My Add

Monday 16 June 2014

Hasan: Operasi bersepadu di perairan negara

KUALA LUMPUR, AHAD 15 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terus meningkatkan operasi secara bersepadu dengan agensi di kementerian lain dalam membanteras sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di kawasan perairan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam menjalankan operasi secara bersepadu mengikut kesesuaian keadaan serta menerusi maklumat yang mencukupi.

"Memang kita telah memperbanyakkan usaha secara bersepadu bersama agensi lain. Ada ruang secara bersepadu, dan ada juga secara bersendirian seperti yang dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sering menjalankan tangkapan.

"Bagaimanapun, jika kita dapat cukup maklumat, kita akan jalan operasi bersepadu dengan agensi lain. Malah, kita juga bekerjasama dengan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau perkara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan eksklusif Utusan Malaysia hari ini yang mendedahkan mengenai rangkaian sindiket penyelewengan dan penyeludupan diesel bukan sahaja berleluasa di darat tetapi juga di kawasan perairan negara.

Hasan juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melihat kepada kementerian berkenaan sahaja bagi membanteras sindiket penyelewengan dan penyeludupan subsidi diesel khususnya di kawasan perairan di negara ini.

Beliau berkata, operasi membanteras penyeludupan itu juga perlu melibatkan agensi di kementerian lain seperti Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Laut yang turut memainkan peranan.

"Dalam Ops titik ini, saya anggap masyarakat hanya melihat kepada kementerian sahaja, walaupun jabatan dari kementerian lain turut terlibat.

"Setakat ini, Ops Titik telah menunjukkan kejayaan melalui banyak rampasan dan tangkapan yang dibuat oleh penguat kuasa," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment