My Add

Monday 16 June 2014

JAIS ambil masa seminggu

 
KUCHING, AHAD 15 Jun, 2014: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan mengambil masa kira-kira seminggu bagi menyiasat sampel daging dipercayai kaki babi yang ditemui dalam hidangan soto ayam yang dijual di premis makanan sebuah pusat beli-belah di sini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ir. Daud Abdul Rahman (gambar) berkata, JAIS mengarah pegawainya mengambil sampel daging berkenaan pada Khamis lalu bagi membantu siasatan.

"Pengesahan untuk keputusan siasatan bukan sesuatu yang mudah kerana kami memerlukan kira-kira seminggu untuk mengesahkannya.

"Apabila kesemua siasatan itu selesai, pegawai penyiasatan JAIS akan mengumumkan sebarang keputusan hasil daripada siasatan tersebut kepada orang ramai," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan JAIS yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah gerai makanan Indonesia di medan selera sebuah pusat beli-belah di sini selepas tersebarnya gambar dalam laman sosial Facebook mengenai pemilik gerai menggunakan kaki babi dalam sup, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Daud berkata, masyarakat beragama Islam tetap dinasihat supaya tidak makan di premis berkenaan sekiranya keputusan siasatan itu mengesahkan sampel daging itu adalah daging lembu.

Katanya, langkah itu perlu diambil berikutan semua premis makanan di medan selera pusat beli-belah tersebut tidak pernah memohon sijil halal daripada JAIS atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak mula beroperasi beberapa tahun lalu.

"Meskipun keputusan siasatan mengatakan sampel daging itu bukan daging babi seperti yang didakwa pengusaha premis berkenaan, namun dalam isu halal haram ini masyarakat Islam harus peka kerana premis berkenaan tidak pernah memohon sijil halal.

"Daging sapi itu halal tetapi proses penyembelihan mahupun apa jua proses lain mengikut prosedur dan syariah yang menetapkan halal serta haram sesuatu makanan harus dititikberatkan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, apa yang menjadi persoalan kini adalah pihak pengurusan premis berkenaan tetap tidak mahu memohon sijil halal dengan memberi pelbagai alasan.

Katanya, JAIS berasa pelik kenapa pihak pengurusan pusat beli-belah itu tidak mahu memohon sijil halal walaupun sudah dinasihati beberapa kali sebelum ini.

"Pengusaha premis makanan harus peka dengan pengguna, lebih-lebih lagi di Kuching yang majoriti pelanggan premis makanan terdiri daripada masyarakat Islam.

"Selain itu, isu halal haram ini bukan hanya untuk memperoleh keyakinan masyarakat Islam itu malah sebagai pemangkin perniagaan itu untuk terus maju dan diterima oleh semua lapisan masyarakat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment