My Add

Tuesday 17 June 2014

IRDA sasar Iskandar Malaysia terima pelaburan RM25b

 * FELLOW Penang Institute, Datuk Dr. Goh Ban Lee (dua dari kiri) selaku moderator, bertanyakan soalan kepada Dr. Mahathir Mohamad (tengah) pada Sidang Kemuncak Kota Metropolitan Asia Kedua di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Jebasingam Issace John (dua dari kanan), Astaman Abdul Aziz (kiri) dan Ismail Ibrahim (kanan).
KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) optimis mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM25 bilion di Iskandar Malaysia pada tahun ini, dipacu pelaburan dari Eropah, Asia Pasifik, Amerika Utara dan Asia Barat.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, sejak awal tahun sehingga kini, Iskandar Malaysia telah pun memperoleh pelaburan sebanyak RM4 bilion hasil daripada pelaburan negara-negara tersebut.

Beliau berkata, pada kebiasaannya pelaburan pada penggal suku pertama tidak begitu rancak, namun begitu pelaburan pada suku kedua dan seterusnya dijangka akan lebih cergas.

"Sasaran pelaburan bagi tempoh matang adalah sebanyak RM383 bilion menjelang 2025 dan sehingga kini jumlah pelaburan telah mencapai RM138.61 bilion.

"Pelabur bagi Iskandar Malaysia disasarkan dari Eropah, Asia Pasifik, Amerika Utara dan Asia Barat. Kita memang mahu bawa masuk pelaburan dari Eropah, malah sudah ada pun yang telah berada di Iskandar Malaysia termasuk dalam sektor pendidikan, contohnya Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Kota Metropolitan Asian Kedua di sini hari ini. Antara ahli panel pada persidangan itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Astaman Abdul Aziz.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini tersebut bertemakan 'Mentransformasikan Bandar-Bandar kepada Metropolis Bertaraf Dunia'.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), Ismail berkata, enakmen tersebut akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kerajaan negeri sebagai pihak bertanggungjawab, malah kepada penerima sendiri seperti mereka yang hendak membeli rumah atau menyewa dengan menggunakan sistem terbabit.

Menurutnya, tujuan sebenar enakmen ini diperkenalkan adalah untuk rasionalisasi dan mengintegrasikan proses dan prosedur bagaimana kerajaan negeri hendak menangani isu perumahan khususnya penawaran rumah-rumah bagi golongan yang memerlukan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment