My Add

Tuesday 17 June 2014

Mat rempit beraksi ala Superman didenda RM5,000

KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Dua mat rempit masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman, minggu lalu.

Majistret Amal Razim Alias menjatuhkan hukuman itu terhadap penuntut kolej, Kamaruddin Ismail, 19, dan penghantar Pizza, Mohamad Hasnol Yusuf Harun, 19, dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kamaruddin yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ 135 warna hijau didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman dengan meletakkan dada pada tangki motor serta mengangkat kaki lurus ke belakang yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.20 pagi di Lebuh Raya Duke, 14 Jun lalu.

Sementara itu, Mohamad Hasnol yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda warna biru pula didakwa menunggang motosikalnya dengan gaya yang sama di lebuh raya berkenaan antara pukul 1.15 dan 1.20 pagi, 15 Jun lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun dan didenda tidak kurang RM5,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, kedua-duanya berjaya ditahan oleh pihak polis yang melakukan operasi khas samseng jalan raya dan cegah lumba haram di persimpangan jalan lebuh raya itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang doktor didenda RM1,800 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dua hari lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment