My Add

Thursday 5 June 2014

Jelaskan GST kepada rakyat, bukan kritik

PUTRAJAYA, RABU 04 Jun, 2014: Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang secara terang-terangan mengkritik kaedah penerangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.

Presidennya, Ibrahim Ahmad berkata, kritikan tersebut bukan sahaja memburukkan keadaan malah mengakibatkan timbul perasaan kurang senang rakyat terhadap kerajaan yang kini giat memberi penerangan bagi membolehkan rakyat memahami GST.

Menurut beliau, semua pihak terutama mereka yang pernah menganggotai Kabinet seharusnya bersatu dan perkara seumpama itu tidak perlu disensasikan untuk kepentingan sendiri kerana banyak lagi medium untuk menegur selain di dada akhbar.

“Tindakan mengkritik ini seumpama memberi tekanan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dalam menjalankan tugas bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai GST.

“Mohd. Irwan Serigar mempunyai tugas yang lebih besar daripada melayan perkara yang remeh-temeh seumpama ini, kritikan sesetengah pihak itu juga seolah-olah memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi baru-baru ini mahu Mohd. Irwan Serigar bertanggungjawab bersara lebih awal jika benar beliau menjadi punca kegagalan penyampaian berkesan kepada rakyat mengenai GST.

Selain Mohd. Irwan Serigar, Mohd. Puad juga mahu Setiausaha Bahagian Analisa Cukai Perbendaharaan, Datuk Siti Halimah Ismail bertanggungjawab atas penggunaan papan iklan kartun untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa GST perlu menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Mohd. Puad berkata, penggunaan papan iklan kartun sebagai medium untuk menjelaskan kepentingan GST kepada negara bukan sahaja gagal mencapai maksud sebenar bagi membantu rakyat memahami tetapi dianggap amat memalukan kerana tidak sesuai.

Menurut Ibrahim, masih terdapat banyak kaedah lain sekiranya benar mana-mana pihak mahu memberi teguran kepada kaedah penerangan GST kepada rakyat, contohnya dengan menghantar surat secara terus kepada Mohd. Irwan Serigar.

“Kami di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sendiri juga sedang bertungkus lumus memberi penerangan kepada rakyat, jadi seharusnya penyokong kerajaan dan mereka yang pernah menganggotai Kabinet menurut langkah kami dengan memberi penerangan secara mudah kepada rakyat.

“GST adalah satu cukai yang telus dan mengurangkan ketirisan, tidak perlu timbulkan perkara yang remeh-temeh dengan mempersoalkan mengenai poster dan sebagainya, GST benda baharu jadi memerlukan sedikit masa untuk difahami," katanya.

Selain itu, katanya, JKDM telah membuka pendaftaran syarikat untuk menyertai GST pada 1 Jun lalu dan pihaknya berharap lebih banyak syarikat tampil untuk menyertainya.

Sementara itu, katanya, bermula Januari 2015, JKDM akan dikorporatkan bagi mempermudahkan pelaksanaan GST, jadi semua pihak diminta saling membantu dalam perkara ini dan bukannya saling menuding jari.

Dalam pada itu katanya, beliau mewakili pihak KPKSM meminta kerajaan mengkaji beberapa syarat sebelum mengkorporatkan JKDM termasuk mengenai perjawatan dan juga kenaikan tangga gaji. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment